Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 (JKMC).

Tawaran itu dibuat secara terbuka menerusi ucapannya sebagai Perdana Menteri Ke-9 yang disiarkan secara langsung pada 5.30 petang.

"Bersama dengan kerajaan ini saya akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

"Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan," katanya.

Untuk tujuan itu Ismail Sabri berkata, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan dan itu termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

Katanya, ia juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini, yang mahu semua pihak melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

"Dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri. Sebenarnya, peralihan ini dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

"Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini," katanya.

Ahli Parlimen Bera itu turut memaklumkan pasukan pentadbiran cemerlang tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama semua pihak dan berharap kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

"Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia, mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

"Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 5:45 PM