Mohd Roji Kawi


Bau: Balu Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli menyifatkan suaminya sebagai 'hero' yang cuba mengelakkan tragedi amuk di Balai Pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Jumaat lalu.

Shima Mustapha, 29, berkata, suaminya seorang yang kuat dan tidak gentar berdepan cabaran.

Dia bagaimana reda suaminya menemui ajal ditembusi peluru dan menganggap ia takdir yang harus diterimanya.

"Ya..dia hero di kem itu. Dia kuat," katanya dalam nada sebak ketika ditemui pada upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Seniawan Seberang, di sini, hari ini.

Shima berkata, pada mulanya dia tidak percaya suaminya antara mangsa tembakan itu, selepas dimaklumkan kejadian itu oleh ibu mentuanya.

Namun katanya, selepas nama suaminya diberitahu oleh pegawai TUDM, dia akur dan reda dengan ketentuan itu.

Shima berkata, sebelum ke tempat kerja pagi Jumaat itu, suaminya memberitahu untuk balik dan makan tengah hari bersama.

"Dia tidak menunjukkan perubahan sikap, cuma meminta saya menunggunya balik makan tengah hari," katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Wan Shabli Wan Saie, 56, berkata, anaknya itu mati syahid kerana menemui ajal ketika menjalankan tugas.

"Saya juga bekas tentera dan pernah melalui pelbagai cabaran dalam tugas.

"Sebab itu saya kagum dengan anak saya itu dan dia bukannya mati sia-sia, tetapi mati syahid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 1:33 PM
SHIMA bersama dua anak perempuannya, Sharifah Syafa Syakira Sharif Mohd Siddiq Al-Attas, 5 dan Sharifah Syafa Syahirah, 3, kelihatan sayu sepanjang pengebumian. FOTO Mohd Roji Kawi
SHIMA bersama dua anak perempuannya, Sharifah Syafa Syakira Sharif Mohd Siddiq Al-Attas, 5 dan Sharifah Syafa Syahirah, 3, kelihatan sayu sepanjang pengebumian. FOTO Mohd Roji Kawi