GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Beberapa individu yang langsung tiada latar belakang pendidikan perubatan atau farmasi dikenal pasti aktif menyebarkan 'petua' dan preskripsi haram kaedah memakan pil Ivermectin untuk merawat jangkitan Covid-19.

Preskripsi dihasilkan sendiri itu mengundang kebimbangan berikutan ada pesakit diarah mengambil pil antiparasit dilarang Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) itu dalam jumlah dos berlebihan.

Sumber KKM berkata, preskripsi itu turut tular di media sosial dan kebanyakannya disebarkan oleh individu yang menjual pil Ivermectin untuk memperolehi keuntungan.

"Golongan individu yang berlagak umpama 'doktor bertauliah' ini cukup menggerunkan berikutan mereka langsung tidak menyalurkan informasi sebenar berhubung kesan buruk akibat pengambilan berlebihan pil Ivermectin.

"Identiti mereka sudah dikenal pasti oleh KKM berikutan mereka aktif berkongsi testimoni selain menawarkan pil Ivermectin seludup pada harga mencecah ratusan ringgit sekotak.

"Ada antara preskripsi disebarkan meminta orang ramai yang mahu mencegah atau mengubati Covid-19 supaya mengambil pil Ivermectin setiap pagi selepas sarapan," katanya.

Malah lebih menggusarkan apabila kanak-kanak turut disarankan mengambil pil Ivermectin dalam dos tertentu sedangkan ia tidak pernah disarankan KKM melalui ujian klinikal.

"Malah kami menemui preskripsi menyarankan menggunakan mengambil satu biji pil Ivermectin setiap minggu selama setahun.

"Setakat ini siasatan turut mendapati kegiatan penjualan pil Ivermectin turut dilakukan oleh penjawat awam. Ia turut dianggap satu perbuatan yang serius berikutan pil ini boleh menyebabkan kerosakan hati dan maut," katanya.

Menurutnya, ramai yang masih keliru dan menuduh KKM menyembunyikan kebaikan pil Ivermectin sedangkan tujuan KKM adalah untuk melindungi rakyat termasuk pesakit Covid-19.

Sebelum ini Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru supaya kegiatan penjualan haram ivermectin yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, dihentikan segera.

MPS dan MMA dalam kenyataan bersama berkata, ketika ini pihaknya terkejut dan bimbang dengan penjualan haram secara meluas Ivermectin yang kononnya dapat mencegah jangkitan covid-19.

Katanya, sejak beberapa minggu ini, Cawangan Penguatkusaan Farmasi yang menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara berjaya menyita ubat itu yang dijual secara meluas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:03 AM