LELAKI berusia 28 tahun yang diselamatkan oleh pihak berkuasa di Jeti Tanjung City Marina, di sini, semalam. FOTO tular
LELAKI berusia 28 tahun yang diselamatkan oleh pihak berkuasa di Jeti Tanjung City Marina, di sini, semalam. FOTO tular
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Terjun ke laut dan mahu berenang ke Tanah Suci Makkah. Itu alasan lelaki berusia 28 tahun ketika diselamatkan oleh pihak berkuasa di Jeti Tanjung City Marina, di sini, semalam.

Malah ia adalah kali kedua lelaki terbabit melakukan tindakan sama iaitu berenang untuk merentas daerah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.55 petang.

Katanya, polis turut menghubungi Pasukan Polis Marin Wilayah Wilayah 1 Batu Uban bagi membantu menyelamatkan lelaki berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan adalah individu sama dalam kejadian dilaporkan sebelum ini.

"Kali ini alasan yang diberikan adalah mahu berenang ke Tanah Suci Makkah.

"Susulan itu, lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental," katanya kepada media di sini.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.

"Lelaki berkenaan kini ditempatkan di Wad Psikiatri Jalan Perak bagi rawatan lanjut," katanya lagi.

Video dan foto tindakan lelaki itu tular di media sosial sejak semalam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki itu nekad terjun ke laut di lokasi yang sama dan cuba berenang ke Seberang Perai bagi bertemu rakannya.

Bagaimanapun, dia cuba berpatah balik ke jeti dipercayai kerana keletihan sebelum diselamatkan kakitangan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selepas melihat terapung di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:43 PM