Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bagai menatang minyak yang penuh, begitulah kasih sayang pasangan suami isteri, Amiruddin Jamaluddin dan Zaleha Abdul Rahman tunjukkan terhadap kucing peliharaan mereka yang menghidap penyakit kronik, Diabetes Milletus (DM).

Kucing mereka yang diberi nama Belang berusia 15 tahun itu dan dijaga sejak kecil diberi perhatian rapi selepas haiwan itu disahkan menghidap DM kira-kira tiga tahun lalu.

Amiruddin, 67, juga ibarat 'doktor' di rumah kerana rutin hariannya menyuntik insulin sekurang-kurangnya dua kali sehari kepada Belang.

Beliau yang juga bekas Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibantu, Zaleha, 65, tiga anak iaitu Amiza, 42; Idzwan, 36, dan Azira, 32, serta pembantu rumah yang menyayangi Belang seperti ahli keluarga sendiri.

Semua itu dilakukan bagi memastikan Belang selain tiga lagi ekor kucing peliharaan termasuk Jimmy yang menghidap batu karang dalam buah pinggang berada dalam keadaan baik.

Berkongsi kisah berkenaan, Amiza dari Taman Tasik Titiwangsa di sini, berkata, Belang dulunya seekor kucing yang aktif serta kuat makan.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas kucing itu jatuh sakit dan terbaru, Belang disahkan mengalami lumpuh kedua kaki belakang tetapi masih boleh makan seperti biasa.

"Belang jatuh sakit ketika saya berada di luar negara dan menurut ayah, Belang tiba-tiba tidak kuat berjalan sebelum disahkan menghidap DM.

"Terkejut juga sebaik tahu mengenainya kerana tidak sangka kucing boleh menghidap penyakit itu. Emak dan ayah ikhtiar menyelamatkan Belang.

"Alhamdulillah...Belang dapat diselamatkan selepas 10 hari menerima rawatan di sebuah klinik veterinar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zaleha melihat keadaan Belang yang kini menerima rawatan di sebuah klinik veterinar. Foto Ihsan Amiza Amiruddin
Zaleha melihat keadaan Belang yang kini menerima rawatan di sebuah klinik veterinar. Foto Ihsan Amiza Amiruddin

Menurut Amiza, ibu dan bapanya yang banyak menguruskan dan menghabiskan masa dengan Belang.

Bagaimanapun, Amiza dan dua adiknya turut sama membantu pada masa terluang kerana mereka sekeluarga pencinta kucing cuma ketika ini, Belang masih dalam pemantauan doktor di sebuah klinik veterinar.

"Belang adalah kucing yang bijak malah tidak melawan setiap kali ayah memanggilnya untuk memberi suntikan insulin.

"Belang seperti mengerti insulin itu baik untuk merawatnya.

"Mudah untuk menguruskannya cuma kami sekeluarga sedih melihat keadaan Belang terutama emak yang cukup menyayanginya," katanya yang juga ibu kepada seorang anak berusia 14 tahun dan kini menjalankan perniagaan tudung.

Berhubung video yang tular di TikTok, Amiza berkata, dia tidak sangka perkongsian dimuat naik seorang individu itu akan mendapat perhatian.

"Ikutkan, saya lebih banyak kongsikan perihal Belang di Facebook (FB) kerana kurang aktif di TikTok tetapi ada seorang individu muat naik video di platform berkenaan.

"Sejak itu, kisah Belang semakin mendapat perhatian terutama dalam kalangan pencinta kucing dan lebih membuatkan saya sekeluarga tersentuh apabila ramai mendoakannya.

"Ramai juga mula cakna mengenai penyakit DM malah sebelum pandemik, kebanyakan tetamu yang datang ke rumah pasti terkejut melihat Belang dicucuk dengan insulin.

"Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih kepada semua dan kami harap Belang bertahan tetapi reda dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 8:00 PM