Lingkaran cahaya berbentuk cincin akibat fenomena Halo yang sempat dirakam ketika berlaku hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Lingkaran cahaya berbentuk cincin akibat fenomena Halo yang sempat dirakam ketika berlaku hari ini. Foto Ihsan Pembaca

Suraya Roslan

[email protected]

Kuala Lumpur: Beberapa kawasan di Malaysia mengalami fenomena Halo iaitu lingkaran cahaya seakan-akan pelangi yang mengelilingi matahari.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian Halo yang terjadi hari ini kelihatan di beberapa tempat seperti di Port Dickson di Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.

"Fenomena Halo ialah salah satu fenomena optik dalam bentuk cincin atau gelang seakan-akan pelangi yang dihasilkan melalui biasan dan pantulan cahaya matahari atau bulan oleh kristal ais dari awan cirrostratus yang tinggi.

"Kekerapan kejadian ini berlaku bergantung kepada kehadiran ais kristal dalam atmosfera," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Helmi berkata, Halo kecil muncul sebagai cincin bercahaya atau kebanyakannya putih dengan radius 22 darjah dengan sumber cahaya (matahari atau bulan) di tengahnya.

"Ia menunjukkan pinggiran merah di bahagian dalam dan dalam beberapa kes yang jarang berlaku, pinggiran ungu di bahagian luar.

"Langit dalam cincin kelihatan lebih gelap daripada langit yang lain," katanya.

Menurutnya, fenomena Halo sentiasa mempunyai radius 22 darjah tanpa mengira kedudukannya di langit.

"Kadang-kadang, ia bergantung pada jumlah awan cirrostratus di mana hanya sebahagian daripada lingkaran lengkap yang dapat dilihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:53 PM