Kelihatan orang ramai bergambar di ruang bergambar setelah menerima dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO ASYRAF HAMZAH
Kelihatan orang ramai bergambar di ruang bergambar setelah menerima dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO ASYRAF HAMZAH

Kuala Lumpur: Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 adalah setanding pelan seumpamanya di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, berdepan Covid-19 bukanlah seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) kerana pandemik dihadapi sekarang jelas turut menjejaskan ekonomi tempatan dan global.

Beliau menyifatkan kerajaan sudah pun melakukan persediaan pantas serta proaktif bukan sahaja dari sudut vaksinasi untuk mencapai imuniti berkelompok malah fasa pembukaan semula ekonomi hingga sepenuhnya.

"Laporan berita di media antarabangsa mengagumi Malaysia yang mampu catat kadar vaksinasi sehingga 400,000 hingga 500,000 sehari menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dan hingga kini mencapai 18 juta penduduk divaksinasi.

"Pada masa sama pula lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion diumumkan kerajaan sejak wabak Covid-19 melanda negara," katanya.

Beliau berkata, apa perlu ditekankan lagi oleh kerajaan ketika ini ialah memastikan penyampaian maklumat berkenaan PPN dan Pick sampai dan difahami semua supaya kerjasama dapat diperkukuhkah untuk negara keluar daripada pandemik.

Pada masa sama, katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak masih diperlukan.

"Rakyat di sesuatu kawasan juga perlu sentiasa cakna dan berjaga-jaga mengenai sebarang pengumuman dari semasa ke semasa.

"Ini kerana andai terleka akan menyebabkan kita tidak faham kerana mungkin ada perubahan SOP di zon tertentu.

"Kita tidak boleh berada dalam keadaan emosi. Rasional penting pada waktu bencana pandemik ini. Inilah komitmen bagi menamatkan belenggu akibat Covid-19, kalau tidak kita mungkin terpaksa masih berhadapan masalah ini hingga awal 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:01 AM