Kelihatan Petugas Jabatan Kesihatan berehat selepas menjalani ujian saringan COVID-19 terhadap penduduk. FOTO GHAZALI KORI
Kelihatan Petugas Jabatan Kesihatan berehat selepas menjalani ujian saringan COVID-19 terhadap penduduk. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penentu kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk keluar dari belenggu pandemik Covid-19 amat bergantung kepada sokongan semua peringkat termasuk pemimpin setempat, parti politik dan rakyat.

Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berpendapat komitmen daripada ahli dan parti politik serta wakil rakyat masih dilihat tidak mencapai tahap maksimum untuk negara mobilisasikan keseluruhan entiti masyarakat.

Beliau berkata, hakikatnya sejak awal Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan tahun lalu, negara berhadapan krisis kesihatan sangat mencabar untuk menyelamatkan nyawa hingga terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 2.0 dan 3.0 dan sekarang dalam fasa PPN.

"Tempoh untuk kita menilai kerajaan ini adalah terlalu singkat. Tetapi dalam waktu pendek ini kita dapat melihat pelbagai jenis bantuan yang dapat kerajaan salurkan.

"Pada masa sama kita melihat proses vaksinasi sekarang digerakkan secara pantas dan adalah satu perkara mengagumkan kita semua kerana pada hari ini kita melihat kira-kira 18 juta rakyat di Malaysia sudah divaksin.

"Dianggarkan bahawa di dalam tempoh sebelum Oktober kita mampu mencapai keseluruhan populasi mendapatkan vaksinasi secara percuma. Dari sudut ini, negara kita di depan jika dibandingkan dengan negara seperti Kanada dan Amerika Syarikat," katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Katanya, beliau melihat ketrampilan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani isu kesihatan dan ekonomi yang melanda negara di sebalik banyak tentangan terhadapnya dari segi politik.

Menurutnya, peluang dalam Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen minggu lalu sepatutnya digunakan untuk bahas agenda kesihatan dan kesejahteraan rakyat .

"Ini peluang mengutamakan agenda berhubung dengan strategi bagaimana untuk kita menangani Covid-19 dengan topik kesejahteraan serta kesihatan rakyat adalah perkara utama yang harus diutamakan.

"Semua ahli politik dan parti politik perlu mengenepikan ideologi politik masing-masing, perlu mengenepikan prinsip masing-masing, perlu tampil ke hadapan membantu bersama dengan kerajaan untuk merealisasikan pelan pemulihan negara," katanya.

Pada sidang khas Dewan Rakyat minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion diumumkan kerajaan sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Katanya, tahun lalu saja, pakej yang dilaksanakan bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ia adalah antara kadar terbesar berbanding pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

"Agenda utama kerajaan sejak awal penularan wabak Covid-19 adalah untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:50 AM