GAMBAR jarak jauh pengebumian Nik Nurjihan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
GAMBAR jarak jauh pengebumian Nik Nurjihan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Akibat korban Covid-19, seorang kakak hanya mampu melihat jenazah adik perempuannya menerusi cermin sewaktu pengecaman dibuat di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Biarpun sayu, Nik Laila Nik Mahayuddin, 48, sekeluarga reda kehilangan ahli keluarga tersayang iaitu adiknya Nik Nurjihan, 43, yang mencatat rekod antara kes mayat dibawa ke hospital atau Brought In Dead (BID) dengan positif Covid-19.

Nik Nurjihan yang tinggal bersendirian dan belum berkahwin ditemui meninggal dunia akibat Covid-19 di rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor pada 25 Julai lalu.

Menceritakan peristiwa sedih itu, Nik Laila berkata, dia sudah lama tidak bertemu adiknya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kali terakhir kami berborak ramai-ramai dalam kumpulan WhatsApp keluarga pagi Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai lalu.

"Kemudian hari Ahad 25 Julai masa saya di Sunway Pyramid menemani suami untuk cucuk vaksin Covid-19 dos kedua teringatkannya dan cuba hubungi dan menghantar mesej WhatsApp namun tidak berbalas.

"Menjelang malam masih tiada reaksi menyebabkan saya dan adik-beradik lain risau. Saya tanyakan abang saya jika ada simpan kunci pendua rumah adik sebab adik pernah minta tolong abang untuk ubah suai rumahnya sebelum ini namun abang kata tak ada," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, dia dan abangnya berbincang untuk memecahkan pintu rumah Nik Nurjihan.

Nik Laila berkata, suaminya Hamidi Hasssan, 51, menasihatkan supaya membuat laporan polis dahulu sebelum mengambil tindakan itu.

"Laporan dibuat di Balai Polis Taman Sri Muda dan kira-kira jam 11 malam hari sama selepas pintu berjaya dibuka, rumah itu bergelap dan abang saya akhirnya menemui adik dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak hospital dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi selepas dihubungi mengesahkan arwah sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, pegawai perubatan yang datang dengan ambulans itu memakai lengkap set pakaian pelindung diri (PPE).

Menurutnya, jenazah adiknya kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HTAR dan perlu menunggu keputusan sampel yang dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

NIK Nurjihan (berdiri kiri) ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya.
NIK Nurjihan (berdiri kiri) ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya.

"Kira-kira 6 petang keesokannya (26 Julai 2021) baru dapat keputusan. Kemudian disebabkan tidak mahu tangguhkan urusan jenazah, kami sekeluarga ambil keputusan menggunakan khidmat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim yang disenaraikan hospital.

"Selepas melengkapkan beberapa dokumentasi NGO berkenaan mendapat slot untuk kebumi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada keesokannya (27 Julai 2021).

"Hari berikutnya saya diminta buat pengecaman. Waktu itu memang banyak jenazah dan saya hanya dibenarkan melihat wajah adik dari cermin sebelum saya diminta beredar untuk jenazah adik ditayamum dan disolatkan," katanya sebak.

Katanya, pihak hospital mungkin tidak membenarkan waris melihat prosedur pengurusan jenazah disebabkan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan dan berisiko tinggi menjangkiti orang sekeliling.

Menurutnya, jenazah Nik Nurjihan selamat dikebumikan dan sejurus selesai urusan itu azan Asar berkumandang.

"Dua waris sahaja boleh ke kubur, itu pun hanya boleh saksikan dari jauh. Ibu kami sangat sedih. Katanya arwah ada hubungi Jumaat lalu (23 Julai). Ibu tanya kepadanya sihat ke?

"Adik beritahu demam sikit. Ibu pesan kepadanya supaya pergi klinik. Adik cakap OK demam sikit sahaja, biasa esok baiklah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 7:01 AM