Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: "Saya rasa sangat bersalah sebab gagal selamatkan ayah. Saya dengar arwah menyebut Allah ketika api menyambar tubuhnya namun api terlalu marak dan kami tidak dapat berbuat apa-apa," kata Shabilah Mohamed Musa, 47.

Shabilah adalah anak tiri kepada Ahmad Busir Ghazali, 51, yang rentung dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak di sini, malam kelmarin.

Katanya, kejadian 11.40 malam itu disedari ibunya, Ngah Dimah Tamin yang berusia 60-an selepas terlihat api di bilik tidur.

Dia berkata, kedudukan rumahnya yang bersebelahan menyebabkan menjadi kelaziman ibu melaung namanya untuk meminta bantuan.

"Mulanya saya fikir itu laungan biasa, jadi saya tidaklah bergegas ke rumah ibu.

"Tetapi bila sampai di rumah emak, saya lihat api marak di atas bilik dan terus bawanya keluar sebelum berusaha menyelamatkan ayah.

"Saya gagal mengeluarkan ayah yang berada di ruang tamu memandangkan katil boleh laras tersekat ketika melalui pintu rumah. Saya bergegas mengejutkan suami dan anak yang tidur bagi meminta bantuan.

"Api marak terlalu cepat hinggakan tiba saja depan pintu rumah emak, saya dapati separuh tubuh ayah sudah disambar api," katanya menambah ibunya turut cedera dalam kejadian itu.

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak, kelmarin. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak, kelmarin. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Katanya, arwah yang diserang angin ahmar baru keluar dari hospital Isnin lalu selepas lebih sebulan dirawat.

Shabilah mengakui dia terkilan kerana gagal menyelamatkan bapa tirinya yang disifatkan mesra dan gemar menghulurkan pertolongan kepada penduduk kampung ketika sihat.

"Tidak boleh nak salahkan suami kerana dia ada masalah pendengaran. Anak saya yang berusia 21 tahun yang ketika kejadian masih belum tidur pula orang kurang upaya (OKU) lembam," katanya.

Shabilah berkata, jenazah bapa tirinya disemadikan di Perkuburan Islam Kampung Air Hiram Labu di sini, kerana sebelum dimasukkan ke hospital baru-baru ini, arwah berwasiat supaya dikebumikan di situ.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran membabitkan tiga rumah berkeluasan 55.7 meter persegi masing-masing menyebabkan kemusnahan 90, 80 dan 40 peratus.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dibantu BBP Tapah dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan kecemasan diterima jam 11.50 malam.

"Dua aliran hos sepanjang 91 meter dengan tiga pancutan dari tangki air jentera bomba digunakan dalam operasi memadam kebakaran itu yang tamat pada jam 3.33 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:15 AM