Tangkap layar daripada video yang menunjukkan ahli keluarga wanita yang maut akibat Covid-19 mengangkat jenazahnya untuk pengebumian biasa.
Tangkap layar daripada video yang menunjukkan ahli keluarga wanita yang maut akibat Covid-19 mengangkat jenazahnya untuk pengebumian biasa.
Agensi

Jakarta: Ketika Presiden Joko Widodo merancang untuk mengumumkan penarikan secara beransur sekatan yang dikenakan jika kes Covid-19 terus menurun mulai 26 Julai ini, ada sisi berbeza mengenai pandemik di negara itu yang meruntun pelbagai reaksi.

Indonesia menjadi antara negara paling tinggi yang merekodkan penularan jangkitan Covid-19 dengan lebih 2.9 juta kes dan 76,000 kematian manakala sekitar 50,000 jangkitan sehari pada minggu lalu, sebelum ia menurun kepada 38,325 kes, kelmarin.

Bagaimanapun, kadar kes harian yang masih tinggi melumpuhkan sistem kesihatan Indonesia dan petugas barisan hadapannya bergelut untuk rawatan dan menjadi korban.

Menurut Ikatan Doktor Indonesia, seramai 545 pegawai perubatan meninggal dunia ketika bertugas sepanjang pandemik Covid-19 hingga 17 Julai lalu, bahkan jumlah kematian pada Julai sudah melebihi 100 peratus daripada kadar pada Jun.

Seorang daripada doktor yang gugur itu adalah Putri Dzu Nafiah dari Ponorogo, Jawa Timur, yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu, bersama kandungannya yang berusia tujuh bulan, menurut Tribunnews.

Dia meninggal dunia selepas gagal mendapat bantuan pernafasan disebabkan kemudahan ventilator tiada di hospital swasta yang merawatnya.

Ketua IDI Ponorogo, Aris Cahyono berkata, Putri menerima rawatan di hospital itu selama seminggu dan pihaknya mahu merujuknya ke hospital di Surabaya atau Solo, tetapi unit rawatan rapi (ICU) di sana juga penuh.

Katanya, Putri adalah doktor umum yang bertugas di Ponogoro dan berkemungkinan belum menerima vaksin kerana mengandung.

Berbeza pula kesnya dengan penduduk di Kota Kupang, Nusa Tenggara Timur yang menurut Kompas, mereka bergotong-royong mengebumikan jenazah seorang suri rumah tanpa protokol Covid-19 pada Sabtu lalu.

Semuanya kerana keluarga wanita itu yang tidak mempercayai arwah meninggal dunia akibat pandemik terbabit, sebaliknya bertegas mengatakan kematian kerana penyakit diabetes dihidapi mangsa.

"Menurut keluarga, Allahyarham dirawat selama dua hari di Rumah Sakit Umum Siloam kerana kencing manis," kata Ketua Desa Airmata, Farid Belajam.

Farid berkata, suri rumah itu meninggal dunia pada jam 3.30 petang dan dipersiapkan untuk pengebumian cara biasa sebelum keluarga arwah menerima panggilan telefon daripada hospital yang memaklumkan jenazah bakal dikebumikan mengikut protokol Covid-19 di TPU Fatukoa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:00 AM