GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: 'Balai polis disko.' Itu gelaran boleh diberikan kepada tindakan menjadikan bilik di sebuah balai polis di daerah Kajang sebagai lokasi berhibur.

Susulan tindakan itu, seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan, semalam.

Serbuan kira-kira 6 petang itu dibuat Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman susulan maklumat awam.

Suspek ditahan ketika sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Suasana bilik berkenaan juga tidak ubah seperti disko kerana dipasang lampu berputar

Pasukan serbuan menahan OCS berpangkat Sub-Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun.

Serbuan juga merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Selain itu, lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita turut dirampas.

Sementara itu, Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, polis memandang serius salah laku yang dilakukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, serbuan dibuat bagi memastikan balai polis tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral.

"Saya sahkan serbuan dan penahanan yang dijalankan JIPS Bukit Aman hasil maklumat awam.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan tindakan tegas akan diambil terhadap suspek yang terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 2:11 PM