GAMBAR kenangan Mohd Fadli bersama arwah isterinya, Umaisarah yang hamil tujuh bulan dan meninggal dunia akibat Covid-19. FOTO Ihsan Mohd Fadli Abd Wahab
GAMBAR kenangan Mohd Fadli bersama arwah isterinya, Umaisarah yang hamil tujuh bulan dan meninggal dunia akibat Covid-19. FOTO Ihsan Mohd Fadli Abd Wahab
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Kasihanilah anak isteri, atau suami masing-masing. Duduklah di rumah, bimbang nanti alami nasib sama seperti saya.

"Saya dah kehilangan isteri dan anak akibat Covid-19, saya seru orang ramai jagalah prosedur operasi standard (SOP), usah jadi seperti saya," kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.

Isteri Mohd Fadli, Umaisarah Azmi, 25, yang hamil tujuh bulan disahkan meninggal dunia semalam pada 1.25 tengah hari akibat dijangkiti Covid-19 malah anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Menurut Mohd Fadli, isterinya yang tidak bekerja menghembuskan nafas terakhir ketika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, selepas mengadu sesak nafas dan sakit kepala yang teruk.

Katanya, sebelum ini isterinya tidak pernah menghidap penyakit atau mengalami alahan sejak mengandung bayi ketiga mereka Januari lalu.

"Dia mengejutkan saya kira-kira 4 pagi Sabtu lalu selepas mengadu tidak boleh bernafas sekali kaki dan tangannya lemah.

"Berikutan itu saya terus membawanya ke HSAH kerana bimbang melihat keadaannya yang semakin lemah. Isteri saya dimasukkan ke zon merah, namun tidak lama kemudian doktor mengesahkan dia meninggal dunia akibat Covid-19," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fadli yang menetap di Kampung Pokok Asam, di sini, tidak menyangka perubahan sikap arwah isterinya yang tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi mereka adalah petanda dia akan pergi buat selamanya.

Katanya, dulu ketika mengandungkan anak sulung mereka, Muhamad Adam, 3, persiapan yang dilakukannya hanya biasa saja tetapi kali ini dia belikan barang yang mahal-mahal.

"Saya sentiasa menemani isteri rumah kerana tidak dapat bekerja disebabkan tempat kerja ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Namun saya terkilan tak sempat bersama di sisinya ketika menghembuskan nafas yang terakhir dan hanya melihat tubuhnya kaku ketika doktor panggil untuk tujuan pengesahan," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Mohd Fadli yang bekerja di sebuah pusat menjual kereta di Padang Temusu, di sini, reda dengan pemergian isterinya itu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam, di sini, 4 petang tadi.

Mohd Fazli berkata, dia bersama dua anaknya dan ibu mentua baru selesai menjalani ujian calitan dan dikuarantin sehingga 26 Julai ini seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo ketika dihubungi mengesahkan berlaku kematian seorang ibu hamil di HSAH akibat Covid-19.

Beliau berkata, setakat ini keluarga mangsa sedang dikuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:57 PM