GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Kluster tempat kerja termasuk kilang masih dikesan berlaku ketika negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19 dan di sebalik peringatan demi peringatan untuk semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Statistik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini menunjukkan sektor perkilangan adalah penyumbang jumlah kes tertinggi bagi kategori kluster tempat kerja.

Menurut beliau, sehingga 14 Jun 2021, sejumlah 1,328 kluster tempat kerja dikesan dan kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus).

Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu sebanyak 95,156 kes membabitkan 639 kluster.

Setakat ini, Kerajaan melaksanakan tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelbagai jenis peraturan dan SOP, tidak terkecuali untuk industri perkilangan. Justeru, mengapa masih ada kluster tempat kerja termasuk kilang? Mengapa masih ada yang berani melanggar SOP.

Penulis mengambil satu contoh kes apabila baru-baru ini, sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan, Petaling Jaya dilaporkan dikompaun RM10,000 kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan sekali gus melanggar SOP PKP3.0.

Hasil serbuan pihak polis turut mendapati kilang tersebut masih menggunakan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang sudah tamat tempoh, iaitu bertarikh sebelum 1 Jun.

Ini baru satu dari banyak lagi kes pelanggaran SOP oleh pihak majikan dan pemain industri perkilangan. Di mana silap dan apa pula tindakan yang perlu dilakukan?

Naib Presiden 2, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Zanuddin Kisman berkata, melalui peruntukan Seksyen 15, subseksyen (1) Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (AKKP) 1994 adalah menjadi kewajipan am majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan - setakat yang praktik - setiap aspek keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerjanya dipatuhi.

Oleh itu, secara umumnya beliau berpendapat, isu ketidakpatuhan SOP ini amatlah serius kerana ia bukan sahaja boleh mengancam tahap kesihatan awam negara, namun juga pihak majikan seolah-olah memperjudikan keselamatan dan kesihatan pekerja industri perkilangan itu sendiri.

"MSOSH melihat tahap kepatuhan di kalangan pemain industri masih lagi tidak sepenuhnya dan berada pada tahap amat tidak memuaskan. Apatah lagi, kita sering juga dengar ada kes majikan memaksa kakitangan hadir bekerja pada kapasiti penuh walaupun arahan diberikan bagi penjadualan semula atau kaedah penggiliran diadakan bagi mengurangkan risiko pendedahan atau jangkitan kepada para pekerja.

"Kami percaya isu kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melakukan rondaan dan pemeriksaan di semua premis adalah terbatas. Maka dengan itu, industri tidak berasa takut untuk melanggar SOP yang diwujudkan kerana merasakan pengeluaran dan keuntungan syarikat adalah lebih utama dan sekiranya melanggar SOP yang ditetapkan, penalti yang dikenakan mampu dibayar oleh mereka," jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurut beliau, pelanggaran SOP oleh pihak majikan ini bukanlah perkara baru dan berlaku dengan begitu aktif semenjak PKP 1.0 lagi.

"Walaupun mungkin ia tidak mendapat liputan meluas tetapi dalam kalangan ahli-ahli MSOSH yang juga pengamal Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, perkara ini sering menjadi topik perbincangan dalam usaha mencari solusi yang berkesan," katanya.

Zanuddin berpandangan salah satu usaha untuk membendung isu ini dari terus berlaku adalah pihak berkuasa perlu meningkatkan denda selain saringan yang ketat dilakukan kepada industri yang memohon untuk beroperasi semasa tempoh PKP.

"Dengan tahap denda terkini, MSOSH melihat pemain industri masih mampu untuk membayar penalti yang dikenakan kerana jumlah yang tidaklah begitu besar dibandingkan keuntungan yang mereka peroleh sekiranya operasi dijalankan secara kapasiti penuh.

"Jadi mereka dengan sewenang-wenangnya berani melanggar SOP kerana lebih mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan nyawa pekerja serta tidak serius dalam membantu menangani masalah yang sedang dihadapi oleh negara kita secara khususnya dan dunia secara amnya, " katanya sambil menambah, cadangan untuk menaikkan denda atau saman diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan oleh industri.

Menurut Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara, "individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021."

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP juga boleh didenda sehingga RM50,000.

Zanuddin turut menambah, Jabatan keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) jelas menyatakan antara lain tanggungjawab majikan ialah melantik pihak Penyelaras untuk melaporkan status pematuhan program Kawalan Risiko Covid-19.

Menurut beliau, perkara ini juga jelas tertera di dalam AKKP 1994 yang mengkehendaki pihak industri dan sektor serta keadaan yang memerlukan untuk syarikat atau organisasi mengambil bekerja orang yang cekap seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan.

Langkah ini bagi membantu syarikat melaksana dan memantau program berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, dalam usaha memastikan para pekerja tidak terbabit dalam situasi yang memudaratkan kesihatan serta keselamatan mereka.

"Dalam konteks situasi terkini iaitu pandemik Covid-19, pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) juga bertanggungjawab membantu organisasi dan syarikat dalam mewujudkan prosedur dalaman untuk rujukan kepada organisasi dan semua pekerja semasa menangani keadaan pandemik ini. Selain daripada SHO, ahli jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (SHC) di tempat kerja juga bertanggungjawab untuk membantu SHO dalam melaksana dan memantau pematuhan keseluruhan KKP di tempat kerja.

"Pemantauan berterusan oleh SHO dan SHC amatlah kritikal terutama apabila membabitkan organisasi yang besar. Namun dengan adanya SHO di dalam sebuah organisasi, proses pematuhan dan pelaporan menjadi mudah di mana mereka adalah individu yang terlatih dan cekap dalam aspek pematuhan kepada AKKP 1994. Kepada organisasi atau syarikat yang tidak mengambil bekerja seorang SHO, mereka mungkin akan menghadapi masalah untuk memastikan pematuhan atau pelaporan kepada PBT atau mana-mana agensi kerajaan yang berkenaan. Ini akan menyukarkan dalam konteks pematuhan secara menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 7:10 AM