BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di seluruh negara meningkat dalam tempoh 24 jam lalu apabila kembali merekodkan angka 6,000 dengan 6,440 kes berbanding 5,738 kes yang dicatatkan semalam.

Kes baharu itu menjadikan kumulatif kes kini 685,204.

Menurut hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), Selangor kekal negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi melibatkan 2,095 orang, diikuti Negeri Sembilan (870), Kuala Lumpur (816) dan Johor (592).

Selain itu, Sarawak mencatat sebanyak 536 kes, Perak (357), Melaka (223), Kelantan (200), Sabah (199), Kedah (159), Labuan (152), Pulau Pinang (122), Pahang (79), Terengganu (32), Putrajaya (enam) dan Perlis (dua).

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata, 6,861 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan kes aktif kini 65,602, manakala 894 kes mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 451 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, sebanyak 74 kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 4,276 kes.

Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 28 kes diikuti Negeri Sembilan (sembilan), masing-masing tujuh kes di Sarawak dan Johor, Sabah (enam), Labuan (lima), Kuala Lumpur (empat), Melaka (tiga), Pahang (dua) dan masing-masing satu kes di Perak, Terengganu dan Kedah.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 23 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhan kluster yang masih aktif adalah 810.

Daripada kluster baharu itu, 17 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja, empat kluster komuniti serta masing-masing satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 3:55 PM