YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Fail.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Fail.
Hayati Ibrahim


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda amat menyedari peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, pandangan itu dizahirkan selepas Al-Sultan Abdullah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar daripada pelbagai agensi kerajaan.

"Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi adalah satu-satunya 'exit strategy' (strategi keluar) bagi mengawal penularan wabak berkenaan di negara ini.

"Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat supaya matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai secepat mungkin," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu yang turut mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

"Seri Paduka Baginda juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Baginda turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama mendoakan supaya rakyat dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya.

Terdahulu, Al Sultan Abdullah berkenan menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini, bagi meneliti pandangan yang dikemukakan pemimpin parti politik ketika sesi menghadap bermula 9 Jun hingga semalam.

Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain itu, turut berangkat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, manakala Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun Sultan Kelantan Sultan Muhammad V tidak berangkat.

Turut kelihatan hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:10 PM