Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, supaya SPP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.

"Sehubungan dengan itu, PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871 kes," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, senarai positif dan negatif serta prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti diumumkan sebelum ini.

ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama

"Mengenai senarai berkenaan, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.

"Memandangkan semua senarai positif, negatif dan SOP adalah sama seperti sebelum ini, saya berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP.

"Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa," katanya.

Kerajaan melaksanakan PKP 3.0 berkuat kuasa 1 Jun hingga 14 Jun (fasa pertama) bagi mengekang penularan Covid-19.

Di bawah PKP 3.0, kerajaan menutup penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara kecuali sektor dan perkhidmatan perlu disenaraikan MKN.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:36 PM