VLADIMIROV terselamat tetapi terpaksa hidup dengan wajah cacat. FOTO Agensi
VLADIMIROV terselamat tetapi terpaksa hidup dengan wajah cacat. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Seorang lelaki kini hidup tanpa rahang dan hidung selepas dia menembak dirinya dalam cubaan membunuh diri.

The Sun melaporkan lelaki terbabit bagaimanapun selamat walaupun kini mengalami kecacatan kekal.

Mikhail Vladimirov, 45, membuat keputusan untuk membunuh diri selepas tertekan kerana masalah kewangan yang serius.

Kejadian berlaku di sebuah pekan di Kotekniki berdekatan Moscow pada 16 Februari lalu.

Media Rusia berkata, lelaki itu meninggalkan rumah jam 4 pagi dengan membawa senjata api berdaftar selain beberapa peluru.

Dia kemudian memandu kereta sewa selama beberapa jam di sekitar pekan itu.

Pada satu ketika, dia memberhentikan kenderaan dan meletakkan senjata api di antara kaki dengan muncung diacukan ke dagu sebelum melepaskan tembakan, kata penyiasat.

Tembakan itu merosakkan wajah Vladimirov namun ia tidak terkena pada bahagian otak sekali gus menyelamatkan nyawanya.

Sejurus kejadian, Vladimirov keluar dari kereta untuk mendapatkan bantuan sebelum dibantu seorang wanita yang kebetulan lalu di kawasan itu.

Perkhidmatan kecemasan dipanggil untuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital.

Berdasarkan video dirakam saksi di lokasi kejadian, Vladimirov dilihat berlumuran darah di tempat duduk pemandu.

"Rahang dan hidungnya hancur dan darah dengan cebisan daging tergantung di pipinya.

"Dia tidak dapat bercakap dan hanya mengeluarkan suara menahan kesakitan," kata seorang saksi.

Vladimirov dikejarkan ke hospital dan doktor berjaya menyelamatkan bahagian kiri wajah dan matanya.

Akibat kejadian itu, dia kini kehilangan 50 peratus penglihatan kerana hanya sebelah matanya dapat berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:30 AM