MOHAMAD Faiezal menjual baju T  terpakai  di Fb dan tapak acara sejak tahun lalu bagi menambah pendapatan. FOTO Ihsan Mohamad Faiezal Abdullah
MOHAMAD Faiezal menjual baju T terpakai di Fb dan tapak acara sejak tahun lalu bagi menambah pendapatan. FOTO Ihsan Mohamad Faiezal Abdullah
Redzuan Muharam

[email protected].

Melaka: Ada ketikanya, hanya dua ke tiga orang saja yang menonton siaran langsung Facebook (FB) ketika menjual kemeja-T terpakai jualannya, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk terus mencari rezeki yang halal.

Berkongsi cabarannya, Mohamad Faiezal Abdullah, 21, mengakui dia pernah bersiaran langsung selama dua jam di FB, namun tiada siapa yang membeli baju jualannya.

Katanya, dia ada juga akaun Instagram (IG) tetapi pengikut asal tidak seberapa dan jumlahnya bertambah baru-baru ini selepas kakaknya, Norfadhilatuladha, 30, memuat naik ciapan di Twitter mengenai kesukarannya berniaga.

"Saya tidak tahu menahu sehingga terbaca kisah yang tular di laman sosial.

"Sokongan orang ramai itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencari rezeki," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohamad Faiezal yang berasal dari Peringgit, di sini, sebenarnya melakukan dua pekerjaan iaitu sebagai pembantu kedai santan di pasar pada waktu pagi dan menjual kemeja-T terpakai di sebelah malam, demi menambah pendapatan.

Mohamad Faiezal berkata, dia di pasar sejak 2018 dan menjual baju T terpakai menerusi Live Facebook (Fb) bermula tahun lalu.

MOHAMAD Faiezal gigih bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki. FOTO Ihsan Mohamad Faiezal Abdullah
MOHAMAD Faiezal gigih bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki. FOTO Ihsan Mohamad Faiezal Abdullah

Biarpun pendapatannya bekerja di pasar tidak lumayan dan hasil jualan baju T tidak menentu, Mohamad Faiezal bersyukur kerana masih ada ruang untuk mencari rezeki terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang mencabar.

"Saya sebenarnya sudah bekerja sejak berusia 14 tahun lagi bermula sebagai pembantu di kedai makan.

"Pelbagai kerja sambilan pernah saya lakukan tetapi ketika cuti sekolah saja.

"Selepas tamat persekolahan, saya tidak menyambung pengajian sebaliknya bekerja sebagai pembantu juruteknik selama enam bulan sebelum mencari rezeki di pasar sehingga sekarang," katanya.

Menceritakan rutin hariannya, Mohamad Faiezal berkata, tugasannya di pasar bermula seawal 6 pagi sehingga 1.30 tengah hari.

Selesai tugasan di pasar, Mohamad Faiezal akan pulang ke rumah untuk berehat sebelum mengambil gambar dan menyusun atur baju T untuk dijual serta dimuat naik di Fb.

"Kerja di pasar seronok tetapi mencabar kerana perlu disiplin iaitu bangun awal pagi dan tahan lasak kerana saya hanya diberi cuti rehat sekali saja dalam sebulan.

"Jadi, saya perlu mengatur masa dengan sebaiknya lebih-lebih lagi sejak berniaga.

"Jualan di Live Fb juga lazimnya hanya mengambil masa sejam hingga dua jam saja kerana saya perlu tidur awal bagi memastikan dapat rehat secukupnya untuk bekerja di pasar keesokan harinya," katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, sekalipun ada yang mempersoalkan pilihannya bekerja di pasar, dia tetap positif dengan apa yang dilakukan.

"Memang ada yang persoalkan saya, mengapa bekerja di pasar, ada apa di situ?

"Pertanyaan itu mungkin timbul kerana mereka tidak tahu namun saya berterima kasih kepada majikan (Abdul Rahman Ali, 43) kerana beri peluang bekerja yang memberi kesempatan untuk saya menimba pengalaman berniaga dengan orang lama dan mendengar kisah mereka.

"Apa yang saya kagum, peniaga 'otai' dapat bertahan sehingga kini hasil keringat bekerja di pasar tetapi itu bukan bermakna saya galakkan anak muda di luar sana bekerja seperti saya.

"Sebaliknya, saya sarankan mereka menyambung pengajian jika dapat tawaran belajar di universiti dan hargai kerja yang ada kerana bukan mudah mendapat pekerjaan dalam zaman yang mencabar seperti sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 9:07 PM