Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Ketika semua penduduk berada di rumah ketika sekatan pergerakan penuh (SPP), keadaan yang berbeza berlaku terhadap sekumpulan penarik beca apabila terpaksa menjadikan pengangkutan lama itu sebagai tempat berteduh.

Malah, tidak diketahui sama ada sekumpulan penarik beca di Lebuh Armenian di sini, mempunyai makanan bagi mengalas perut.

Setiausaha Eksekutif Urban Life Volunteers, Sarah Abdullah berkata, kebanyakan golongan ini terdiri daripada warga emas, hidup bersendirian dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Katanya, mereka juga tiada kemampuan untuk menyewa bilik, tambahan pula tiada pendapatan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Mereka terpaksa menjadikan kaki lima atau beca sebagai tempat tidur dan membersihkan diri di tandas awam berhampiran, malah kini mereka hanya bergantung kepada ihsan orang ramai yang menyumbang makanan.

"Tidak sangka begitu nasib mereka walaupun dulu menjadi nadi penggerak kepada sektor pelancongan, namun kini tiada siapa peduli," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

REAKSI Khor Ah Hock seorang pengayuh beca di Lebuh Armenian, Pulau Pinang. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pendapatan beliau terjejas.
REAKSI Khor Ah Hock seorang pengayuh beca di Lebuh Armenian, Pulau Pinang. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pendapatan beliau terjejas.

Berikutan itu, Sarah berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), pihaknya mengambil inisiatif memberi bantuan makanan kepada penarik beca di tiga lokasi iaitu berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang selain Lebuh Armenian, di sini.

Katanya, pihaknya kini merekodkan seramai 120 penarik beca yang aktif di negeri ini dan menerima sumbangan makanan setiap hari.

"Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan atau penyumbang bagi menghulurkan bantuan makanan, barang keperluan harian seperti sabun, selimut, tuala, pelitup muka atau pensanitasi tangan.

"Ketika ini kami juga dalam proses mengenal pasti keperluan mereka supaya bantuan yang sesuai dapat disalurkan menerusi dana yang diterima daripada beberapa dermawan," katanya.

PENGAYUH beca menikmati makanan yang diberi Urban Life Volunteers di kaki lima jalan di Lebuh Armenian, Pulau Pinang.
PENGAYUH beca menikmati makanan yang diberi Urban Life Volunteers di kaki lima jalan di Lebuh Armenian, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lanjut, Sarah berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi meneliti semula jumlah wang bantuan kepada penarik beca berjumlah RM100 untuk dinaikkan kepada RM200 sebulan.

Malah, katanya, pihaknya akan mencadangkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya memberi pekerjaan yang bersesuaian kepada mereka bagi menampung kehidupan.

"Mungkin mereka sesuai diberi tugas di bahagian pembersihan seperti mengutip sampah dengan upah yang setimpal.

"Kami juga mahu berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi mencari kaedah membantu golongan itu supaya nasib mereka tidak terlepas pandang," katanya.

SEORANG pengayuh beca berehat di dalam kenderaannya di Lebuh Armenian, Pulau Pinang.
SEORANG pengayuh beca berehat di dalam kenderaannya di Lebuh Armenian, Pulau Pinang.

Sementara itu, penarik beca, Surinder Singh, 58, berkata, dia sudah terbiasa tidur di dalam beca berikutan tidak mempunyai wang bagi menyewa bilik atau rumah tumpangan.

"Saya hanya ada sehelai kain yang dijadikan selimut dan membersihkan diri di tandas berhampiran.

"Pada masa ini, saya tiada satu sen pun wang di dalam poket dan hanya bergantung kepada ihsan orang ramai bagi mendapatkan makanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:45 AM