AB Latip Md Yusop yang baru menerima vaksin Covid-19 pada 3 Jun lalu. FOTO ihsan Azian
AB Latip Md Yusop yang baru menerima vaksin Covid-19 pada 3 Jun lalu. FOTO ihsan Azian
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Biarpun dalam keadaan terlantar, ia tidak mematahkan semangat seorang warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ab Latip Md Yusop, 74, terlantar sejak 30 November 2011 selepas mengalami kemalangan ketika pulang solat Asar berjemaah di masjid berdekatan rumahnya di Taman Permata, Hulu Kelang, di sini, apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan penunggang motosikal lain.

Video berdurasi seminit beliau dipapah masuk kenderaan oleh anaknya untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) FRIM, Kepong sungguh menyentuh hati warganet.

Menggunakan anaknya, Norazean Ab Latip, 38, sebagai pengantara berhubung dengan wartawan, lelaki tabah itu sempat berpesan menerusi nota suara menasihatkan orang ramai mengambil vaksin Covid-19.

"Semua rakyat Malaysia, buat pendaftaran untuk mendapat vaksin. Jangan risau dan takut. Kerajaan dah sediakan semua. Jadi tak ada khuatir apa-apa.

"Terus injection (ambil suntikan vaksin), semua berjalan dengan baik. Mudah-mudahan Tuhan lindung kita dari penyakit Covid-19. Harap ambil vaksin seberapa segera yang boleh," katanya menerusi nota suara kepada wartawan.

Sementara itu, Norazean berkata, video yang tular itu diambilnya pada 3 Jun lalu ketika ayahnya mendapatkan vaksin dos pertama pada 12 tengah hari.

Katanya, jadual seterusnya pengambilan vaksin dos kedua adalah 24 Jun depan pada waktu dan tempat yang sama.

"Sebenarnya, sejak dapat tahu tarikh vaksinasi pada 30 Mei lalu dari MySejahtera, ayah saya sangat bersemangat. Hampir setiap hari ayah akan tanya segala dokumen keperluan dah disediakan atau belum.

"Jadi pada pagi hari vaksinasi, ayah lebih teruja dan minta disiapkan seawal 7 pagi oleh mak saya.

"Makan sarapan juga berselera pagi itu dan sekitar 10.45 pagi ayah sudah kami angkat masuk ke dalam kereta dan terus bertolak ke PPV," katanya yang tinggal bersama ayah dan ibu bersama suami serta anaknya.

Dia berkata, ayahnya itu dibawa dengan Proton Exora dan sejak terlantar 10 tahun lalu memang itulah kenderaan membawa ayah untuk ke mana sahaja.

Ini kerana, katanya, kenderaan itu memang sangat selesa untuk ayahnya berbaring seperti baring di katil sendiri semasa di rumah.

"Hari-hari dengar siaran langsung Ketua Pengarah Kesihatan sebut kepentingan vaksin, jadi ayah sendiri yang mahu divaksin.

"Dari rumah ke PPV ayah memang dibaringkan sepanjang perjalanan. Ayah lumpuh seluruh badan sejak kemalangan jalan raya.

"Ada kecederaan di saraf tunjang (C3 dan C7), jadi memang terbaring dan terlantar selama ini. Semua keperluan harian mesti diuruskan dengan bantuan kami sekeluarga," katanya.

Namun, katanya, mereka sangat bersyukur sebab ingatan ayahnya yang juga bekas tentera laut tidak berpencen itu masih kuat.

Sebelum divaksin, katanya, doktor pakar meminta ayahnya memperkenalkan diri dan ditanya beberapa soalan sebelum dijawab ayahnya dengan lancar dan baik.

"Ayah dapat jawab semua soalan doktor dengan baik. Jadi doktor itu beritahu, ayah boleh divaksin.

"Cuma ayah hanya lumpuh sahaja... yang lain-lain ayah okay, tiada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Norazean berkata, pada waktu ini ayahnya juga tidak putus-putus memberikan semangat kepada ibunya Norma Ahmad, 66, yang belum mendapat vaksin.

"Emak sudah daftar vaksin tetapi masih menunggu tarikh janji temu. Emak saya Orang Kurang Upaya (OKU) sebenarnya.

"Kaki sebelah kiri sudah dipotong kerana penyakit kencing manis sejak 2007 lagi. Sejak itu emak pakai kaki palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 5:18 PM