Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Masa operasi perniagaan akan dihadkan dari 8 pagi sehingga 8 malam di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 25 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah strategi kedua sekatan tambahan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang PKP 3.0 hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

"Namun pengecualian diberikan kepada farmasi yang dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam," katanya.

Menurutnya, peraturan itu akan berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 25 Mei ini.

"Selain itu, sistem pengangkutan awam juga akan dihadkan kepada 50 peratus sahaja kapasiti seperti dilaksanakan ketika PKP pertama dulu," katanya.

"Operasi perniagaan antaranya penjualan makanan pandu lalu, kedai runcit, kedai serbaneka yang sebelum ini dibenarkan hingga jam 10 malam kita pendekkan kepada jam 8 malam," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, selain penambahan sektor ekonomi, kerajaan juga menetapkan aktiviti sosial, beriadah dan sukan termasuk majlis-majlis rasmi kerajaan juga tidak dibenarkan.

"Aktiviti secara individu masih kita benarkan. Kita menetapkan aktiviti ini sehingga jam 8 malam sahaja kecuali aktiviti keagamaan seperti masjid masih dibuka sehingga waktu Isyak.

"Masyarkat perlu melaksanakan amalan PKP kendiri untuk tempoh dua minggu bagi memutuskan rangkaian Covid-19 supaya hospital-hospital boleh menampung pesakit akan datang," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di sini, hari ini.

Berita berkaitan:

  • PKP 3.0 mengehadkan pergerakan orang ramai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 7:19 PM