GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Bachok: Aktiviti surau diteruskan di Kampung Pauh Lima dengan puluhan jemaah sanggup solat dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa, dikatakan antara punca tercetusnya kluster di kawasan berkenaan yang sehingga semalam menyebabkan 78 positif Covid-19.

Malah, penduduk yang hadir ke surau berkenaan juga dikatakan sanggup menyorok selipar supaya kehadiran mereka secara beramai-ramai tidak dapat dikesan.

Walaupun arahan sudah dikeluarkan dengan surau tidak dibenarkan mengadakan solat fardu melainkan hanya empat jemaah saja yang dibenarkan, namun penduduk tidak mengendahkan arahan terbabit.

Penduduk kampung berusia 45 tahun yang enggan dikenali memaklumkan, aktiviti di surau tetap diteruskan seperti biasa termasuk sepanjang Ramadan.

"Mereka tetap mengerjakan solat lima waktu seperti biasa. Cuma untuk waktu siang, kehadiran tidak seramai sebagaimana di sebelah malam.

"Ketika solat sunat tarawih, kehadiran memang ramai sehingga mereka sanggup solat dalam keadaan bergelap dan menyembunyikan selipar.

"Memang rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan penduduk berkenaan kerana kesannya habis satu kampung yang terjejas disebabkan kedegilan mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penduduk berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yah, mengakui apa yang berlaku menimbulkan kemarahan kepada penduduk yang lain terutama mereka yang mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Saya mendapat maklumat memang ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih pergi ke surau berkenaan untuk solat tarawih.

"Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah.

"Bila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP," katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, Kelantan mulai esok sehingga 1 Jun.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak membabitkan kedua-dua lokaliti berkenaan.

Katanya, dalam tempoh dua minggu, peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar jangkitan sama ada berpunca daripada aktiviti surau atau sebaliknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 1:04 PM