GAMBAR tular di media sosial. FOTO tular
GAMBAR tular di media sosial. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Isteri anggota polis yang tular di media sosial kerana menziarah suaminya di sekatan jalan raya (SJR) Persiaran Selatan hala keluar ke Dengkil, Putrajaya dikompaun RM2,000 semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Fadzil Ali berkata, susulan kes ziarah suaminya di SJR pada 13 Mei lalu, polis menerima pelbagai reaksi masyarakat.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan dan hasil mendapati anggota itu dan keluarganya tinggal di daerah Putrajaya.

"Isteri dan anak-anak anggota terbabit datang menaiki dua kenderaan yang berbeza untuk singgah sebentar bagi menyerahkan juadah Aidilfitri kerana suami bertugas pada pagi itu.

"Bagi dakwaan menaiki kenderaan melebihi had tiga orang untuk sebuah kenderaan, tiada kompaun yang dikeluarkan kerana mereka menaiki dua kenderaan berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, kompaun dikeluarkan semalam ke atas isteri anggota terbabit mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021] kerana melanggar SOP PKP dengan menziarah suami di SJR.

"Pada awalnya, perbuatan itu dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.

"Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu dan pihak polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada hari raya atau pun hari biasa," katanya.

Beliau berkata, polis tidak berkompromi sekiranya wujud sebarang pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa saja tanpa mengira sama ada orang awam mahu pun anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.

Berita berkaitan

Kehadiran keluarga anggota polis di SJR tak langgar SOP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:33 PM