GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 44 kematian akibat Covid-19 direkodkan sehingga 12 tengah hari, hari ini, menjadikannya angka kematian harian tertinggi di negara ini, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sebanyak 1,866 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 4,140 kes baharu positif Covid-19, hari ini.

"Jumlah itu menjadikan kes kumulatif Covid-19 setakat ini sebanyak 466,330 kes.

"Selangor masih lagi mencatatkan kes empat angka apabila sebanyak 1,507 kes direkodkan setakat tengah hari tadi," katanya menerusi ciapan di laman Twitter, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Ia disusuli Johor dengan 433 kes, Kuala Lumpur (398), Pulau Pinang (338) dan Sarawak dengan 324 kes.

"Sebanyak 4,131 kes adalah penularan tempatan, membabitkan 3,728 warganegara dan 403 bukan warganegara manakala kesemua sembilan kes import membabitkan rakyat negara ini.

"Sebanyak 3,432 kes pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 422,329 kes (90.6 peratus) manakala 42,135 kes masih aktif," katanya.

Katanya, angka kematian merekodkan kes tertinggi setakat ini, kali kedua dalam tempoh seminggu, iaitu sebanyak 44 kes membabitkan 43 rakyat tempatan dan seorang warga asing.

"Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan Covid-19 di negara ini sebanyak 1,866 kes atau 0.40 peratus.

"Ketika ini, seramai 482 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 250 kes memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 4:46 PM