WARGA Emas, Jaharah Siak, 83, melakukan ujian saringan Covid-19 pada Program Saringan Komuniti SELANGKAH anjuran kerajaan Selangor di Ampang. FOTO Azhar Ramli
WARGA Emas, Jaharah Siak, 83, melakukan ujian saringan Covid-19 pada Program Saringan Komuniti SELANGKAH anjuran kerajaan Selangor di Ampang. FOTO Azhar Ramli
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kes positif Covid-19 terus meningkat dengan 4,852 kes direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumulatif kes positif secara keseluruhan di Malaysia kini sebanyak 458,077 kes.

Menurutnya, kes membabitkan bukan warganegara juga meningkat kepada tiga angka dengan 358 kes direkodkan.

"Hari ini sebanyak 3,347 kes sembuh direkodkan manakala 41,582 kes aktif yang masih dipantau KKM.

"Rawatan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) meningkat dengan 481 kes manakala 247 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menerusi infografik yang dimuat naik KKM di Twitter, kes tertinggi direkodkan di Selangor dengan 1,783 kes, diikuti Kuala Lumpur (521 kes), Johor (467 kes), Sarawak (395 kes) dan Pulau Pinang (395 kes).

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kematian pula sebanyak 27 kes membabitkan lapan kes di Selangor, Johor (lima), Kelantan (tiga), masing-masing dua kes di Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak, dan Pulau Pinang serta satu kes di Perak, Pahang, dan Labuan.

Beliau berkata, KKM juga merekodkan lapan lagi kluster baharu hari ini menjadikan keseluruhan kluster sebanyak 1,848 kluster.

"Lima kluster membabitkan tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster keagamaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 4:23 PM