ANGGOTA barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum dan selepas mengambil sampel untuk saringan Covid-19 ke atas penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid, Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid dan penduduk sekitar zon penampan di pusat pensampelan di Sekolah Kebangsaan Datuk Ibrahim Majid, Kluang. FOTO BERNAMA
ANGGOTA barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum dan selepas mengambil sampel untuk saringan Covid-19 ke atas penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid, Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid dan penduduk sekitar zon penampan di pusat pensampelan di Sekolah Kebangsaan Datuk Ibrahim Majid, Kluang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kluang: "Team are you ok?" Begitu jeritan Dr Hanihaselah Mohd Saleh setiap kali beliau mahu memeriksa tahap semangat anak buahnya ketika bertugas tanpa henti di Sekolah Kebangsaan Datuk Ibrahim Majid untuk mengambil sampel ujian saringan bagi mengesan Covid-19.

Bertindak sebagai komander di pusat persampelan itu, rutin harian itu penting untuk sentiasa memastikan anak buahnya berada dalam keadaan baik memandangkan tugas begitu mencabar yang perlu mereka hadapi.

Dr Hanihaselah adalah Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Mengkibol (dekat Kluang), bersama pasukan petugasnya menggalas tanggungjawab yang berat apabila ditugaskan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Simpang Renggam.

Kawasan berkenaan PKPD pertama selepas Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac 2020.

PKPD berkenaan bermula tengah malam 27 Mac hingga 28 April 2020 dikuatkuasakan berikutan 61 daripada 83 kes positif Covid-19 di daerah berkenaan dikesan di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

PKPD melibatkan 2,599 penduduk tempatan dari Bandar Baru Dato' Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Dato' Ibrahim Majid serta beberapa kampung berhampiran terletak dalam zon penampan iaitu seluas 20 kilometer.

Berkongsi kisah bagaimana tugasnya bermula di PKPD itu, Dr Hanihaselah atau lebih mesra dipanggil Dr Hani berkata, kes pertama dari BBIM disahkan pada 13 Mac 2020 melibatkan seorang peserta Ijtimak Tabligh dari perhimpunan di Masjid Sri Petaling, dekat Selangor yang berlangsung 28 Februari hingga 2 Mac 2020.

Daripada kes indeks itu, penularan dikesan dalam kalangan komuniti sehingga menjangkiti 193 individu serta mengorbankan empat yang lain.

Pada masa itu, pasukannya perlu mengambil 300 hingga 500 sampel daripada penduduk dalam masa tiga jam setiap hari selain membuat pengesanan aktif dalam kalangan penduduk terlibat di kawasan PKPD itu.

Seramai 2,599 penduduk di dua kampung berkenaan dan penduduk sekitar (dari zon penampan) dipanggil untuk menjalani 4,150 ujian saringan Covid-19 mass sampling sebelum pusat persampelan di sekolah berkenaan akhirnya ditutup pada 23 April, 2020.

Memandangkan ini kali pertama kakitangan KKM menghadapi cabaran wabak Covid-19, acap kali mereka berdepan kesukaran daripada segi mencari prosedur operasi standard (SOP) sesuai dalam usaha mengumpul sampel dalam keadaan yang lebih sistematik.

Antara cabaran ialah untuk membina satu tatacara kerja tersusun dan sistematik termasuk mengurangkan risiko pencemaran silang antara petugas kesihatan dan penduduk dan bagaimana pentingnya menyuntik semangat juang pada team sampling yang ada.

Terdapat 80 hingga 100 orang dalam pasukan Dr Hani, semuanya berasal dari Johor dan mereka bertugas secara bergilir-gilir.

"Kalau nak dikira satu peperangan, memang betullah. Bila diisytihar PKPD, kawasan terlibat ditutup sepenuhnya. Setiap jalan raya ada polis dan askar yang menjaga. Setiap kali memandu memasuki kawasan ini, toleh kiri dan kanan, semuanya askar. Masa tu rasa, yalah, kita ni masuk nak berperang cuma musuh kita musuh yang kita tak nampak.

"Ketika itu, menyedari akan mengetuai pasukan yang ketika itu tatacara sangat sukar sebab bukan tatacara yang biasa, saya rasakan...saya dulu yang perlu ada semangat, kena tanamkan semangat positif untuk mengetuai supaya boleh jadi contoh pada ahli pasukan lain," katanya yang berasal dari Pontian, Johor dan sudah berkhidmat selama 29 tahun dengan KKM.

Selain itu, pengalaman memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dalam tempoh lama agak mencabar bagi mereka selain PPE yang tidak mencukupi.

"PPE tak cukup, balut kaki dengan getahlah, pakai plastik sampahlah, itu semua pengalaman tak boleh lupa. Hanya sebab nak pastikan diri kita sendiri dilindungi. Pada masa itu, kami buat yang terbaik untuk menjaga diri sendiri," kata Dr Hani.

DR Hani. FOTO BERNAMA
DR Hani. FOTO BERNAMA

Bagi Dr Hani, Ramadan tahun 2020 sangat bermakna buat beliau dan pasukannya kerana akhirnya berjaya menyelesaikan tugasan sukar itu beberapa hari sebelum ketibaan bulan Ramadan bermula pada 24 April 2020.

Ia dianggap bukan sahaja kejayaan untuk pasukan persampelan, agensi dan penduduk terlibat tetapi kejayaan awal KKM dalam memerangi wabak Covid-19. PKPD di Simpang Renggam kemudian diisytihar tamat pada 28 April 2020.

"Impian saya ketika di Kampung Datuk Ibrahim Majid untuk membawa keseluruhan team sampling keluar dari kampung tanpa seorang pun terkena jangkitan. Alhamdulillah, Allah SWT kabulkan. Setiap hari impian kita menjadikan 1 Ramadan titik kemenangan di kampung itu. Itu juga menyumbang kepada kejayaan awal KKM, alhamdulillah Allah SWT kabulkan.

"Semuanya itu berkat kerjasama semua dan yang paling penting, apabila kita letak sasaran, mereka (ahli pasukan) faham dan mereka beri kerjasama baik untuk menyelesaikan tugasan besar di PKPD pertama di Malaysia," katanya yang mempunyai tiga orang anak, dua orang lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan beliau bakal mengikut jejak langkahnya sebagai doktor apabila tamat pengajian.

Berkongsi seterusnya pengalaman getir itu, menurut Dr Hani, adalah penting bagi beliau untuk terus bersemangat waja sebagai komander untuk mengepalai pasukan yang turut disertai mereka yang baharu sahaja bertugas dan kurang berpengalaman.

"Kalau tak kuat mental, susah nak harungi hari bertugas kerana risiko kerja tinggi. Saya sentiasa pastikan anak buah dalam keadaan baik apatah lagi bekerja dalam keadaan baharu dalam mendepani wabak ini," katanya yang turut berkongsi pengalaman setiap hari di pusat persampelan PKPD di laman sosial peribadinya.

Beliau berkata, ramai memberi komen dan memberi semangat kepadanya sehingga terpanggil akhirnya menulis buku (e-buku) Tragedi Ibrahim Majid: Diari Seorang Frontliner (siri pertama) berdasarkan pengalamannya. E-buku ini siap pada 22 Februari 2021.

"Saya berharap pengumpulan keseluruhan cerita mengenai Tragedi Ibrahim Majid ni secara tidak langsung dapat mengabadikan keseluruhan peristiwa yang berlaku di dua buah kampung berkenaan untuk diguna pakai generasi akan datang dan begitu juga penduduk di sini.

"Banyak (hikmah) mereka boleh ambil. Bagaimana penduduk dan barisan hadapan guna kekuatan fizikal, mental dan jiwa mereka untuk melalui pelbagai episod suka duka, tetapi kami mampu melaluinya dengan pengajaran yang banyak kami kongsikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 7:30 AM