Anggota polis dan tentera membuat sekatan jalan raya (SJR). Foto Azhar Ramli
Anggota polis dan tentera membuat sekatan jalan raya (SJR). Foto Azhar Ramli
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang turut merekodkan peningkatan jumlah kes positif harian Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu akan dilaksanakan lewat sehari berbanding enam daerah di Selangor iaitu bermula Jumaat ini sehingga 20 Mei.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu direkodkan di Kuala Lumpur dengan jumlah kes harian yang meningkat sejak 1 April sehingga 27 April lalu.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP Kuala Lumpur sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali atas urusan kerja dan kecemasan.

"Premis makanan seperti restoran, trak makanan, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja.

"Makan di kedai adalah tidak dibenarkan, hanya untuk dibungkus untuk dibawa pulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismai Sabri berkata, kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian dan farmasi serta stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Menurutnya, hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi seperti biasa, manakala operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan dari 6 pagi hingga 2 petang.

Menurutnya, bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat, namun tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:33 PM