IVAN tidak sangka permohonannya masuk ke universiti terkemuka diterima. FOTO Ihsan Ivan Avannus Jacob Jimbangan
IVAN tidak sangka permohonannya masuk ke universiti terkemuka diterima. FOTO Ihsan Ivan Avannus Jacob Jimbangan
Redzuan Muharam


Mantin: "Saya sekadar cuba nasib dengan menghantar banyak permohonan dan seperti satu keajaiban apabila ditawarkan menyambung pengajian ke 11 daripada 17 universiti dipohon," kata Ivan Avannus Jacob Jimbangan, pemuda genius kacukan Kadazan, Bidayuh dan Iban yang juga penuntut Kolej Tuanku Ja'afar (KTJ), di sini.

Ivan, 20, berasal dari Kuching, Sarawak dan kini mengikuti program A-Level dalam subjek Matematik, Matematik Tambahan, Ekonomi, dan Sejarah.

Sementara tamat pengajian pada Jun depan, Ivan membuat permohonan dalam talian bagi memasuki universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) untuk kemasukan pada September.

Percubaannya tidak sia-sia apabila ditawarkan memasuki universiti terkemuka di AS seperti Universiti Stanford, Universiti Columbia, University Pennsylvania, Universiti Chicago, Universiti Brown, Kolej Dartmouth College, Universiti Cornell selain London School of Economics and Political Science yang terkenal di UK.

"Jujurnya, perasaan saya bercampur baur iaitu gembira, bangga dan bersyukur dengan tawaran diterima malah tidak menyangka akan terpilih kerana tahu bukan mudah untuk diterima masuk ke universiti terbabit.

"Lagipun, ramai calon berkelayakan dengan kelulusan akademik yang cemerlang memohon jadi peluang diterima sukar diramal.

"Kesemua calon perlu memohon di laman web 'CommonApp' dan saya mengarang lebih kurang 50 esei panjang dan pendek selain melakukan sekurang-kurangnya satu temuduga bagi setiap universiti dipohon," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Ivan berkata, proses permohonan masuk ke universiti terkemuka itu cukup sukar kerana tidak bersandarkan keputusan akademik semata-mata tetapi turut mengambil kira aspek lain.

"Ramai calon di luar sana yang cemerlang dan mendapat gred A dalam semua subjek tetapi gagal mendapat tempat kerana persaingan yang sengit.

"Saya tidak pasti mengapa saya mendapat tempat tetapi mungkin kerana aktif dalam bidang kokurikulum dan perkhidmatan sosial sejak di bangku sekolah.

"Lebih menggembirakan saya apabila menjadi satu-satunya pelajar dari Malaysia yang menerima tawaran dari Universiti Standford pada tahun ini dan bangga kerana dapat mewakili negara," katanya yang pernah menyandang jawatan Ketua Pasukan Inovasi ketika di sekolah dan bertanding mewakili negara di peringkat antarabangsa seperti di Thailand dan Indonesia.

IVAN menerima 11 tawaran menyambung pengajian ke universiti di UK dan AS. FOTO Ihsan Ivan Avannus Jacob Jimbangan
IVAN menerima 11 tawaran menyambung pengajian ke universiti di UK dan AS. FOTO Ihsan Ivan Avannus Jacob Jimbangan

Menurut Ivan, agak sukar untuknya memilih tawaran yang sesuai memandangkan universiti terbabit berstatus terkemuka dan mempunyai reputasi dan program akademik yang cukup hebat.

Namun, Ivan akhirnya membuat keputusan menyambung pengajian ke Universiti Stanford di California, AS berdasarkan kaji selidik dan pandangan daripada keluarga serta individu sekeliling.

"Falsafah pendidikan Universiti Stanford adalah memberi pengajian yang praktikal kepada penuntut mereka

"Ia sesuai dengan minat dan cita-cita saya untuk menggunakan ilmu dan memberi impak positif kepada dunia.

"Lagipun, Universiti Stanford sebuah pusat pengajian yang khas untuk mereka yang mempunyai tenaga dan semangat untuk memperbaiki kualiti hidup masyarakat di dunia ini jadi saya percaya ia pilihan terbaik walaupun bukan berstatus Ivy League," katanya.

Berkongsi rahsia kepintarannya, Ivan berkata, dia tidak mempunyai petua tertentu sebaliknya memastikan dirinya mengulangkaji dan membuat nota awal, mendapat tidur serta minum air cukup untuk kekal bertenaga.

"Saya tidak pernah rasa diri saya pintar malah agak perlahan berbanding rakan lain namun perasaan itu yang mendorong saya bekerja keras dan menjaga disiplin untuk berjaya.

"Ilmu yang saya ada ini ibarat setitik air di lautan jadi banyak lagi yang perlu dipelajari," katanya pengasas dan pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) NGO dikenali The Komuhakan Movement iaitu sebuah gerakan orang muda untuk memperkasakan komuniti orang asal di Sabah.

Menurut Ivan, cita-citanya adalah untuk bekerja di Bank Negara Malaysia dan merangka polisi dan dasar awam yang akan membantu negara.

Ivan berkata, dia juga memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Apa pun kerjaya saya nanti, saya harap dapat membantu mengubah nasib hidup golongan susah dan kurang bernasib baik.

"Motivasi utama saya adalah orang muda lain di luar sana yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"Kepada adik-adik di luar sana, jangan pernah putus asa dan benarkan orang lain menyekat impian anda," katanya yang meminati bidang ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:10 PM