MASIH bahagia, Adira syukur rumah tangga sudah tiada masalah.
MASIH bahagia, Adira syukur rumah tangga sudah tiada masalah.
Norhayati Nordin

WALAUPUN memiliki suami yang mampu menanggung kehidupannya, namun penyanyi, Adira Suhaimi, 30, mengakui lebih selesa berdikari kerana sudah terbiasa bekerja sejak usia belasan tahun.

Adira mengorak langkah dan membina kerjaya seninya dalam bidang nyanyian ketika berusia 19 tahun selepas menang tempat kedua di Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada 2010.

Meniti tangga populariti memahat nama dan bakatnya, siapa sangka Adira mampu bertahan hingga kini walaupun dia juga tidak terlepas daripada dipalit kontroversi dan kisah sensasi berkaitan peribadinya.

Kini, hidup bahagia bersama suami, Datuk Seri Adnan Abu dan tiga anak iaitu Anggrek, 4, Asan, 3, dan Anggun, 2, wanita kelahiran Ranau, Sabah ini berkata, dia suka 'go with the flow' saja mengikut apa yang sudah ditakdirkan Allah.

"Seiring usia yang makin meningkat, saya harus matang. Ditambah, sebagai ibu dan isteri yang berkerjaya, saya perlu ada perancangan teratur supaya urusan berkaitan peribadi, keluarga serta kerja tidak bercampur aduk.

"Lagipun, sekarang saya sudah terbiasa dalam pengurusan anak-anak yang masih kecil dengan jarak usia rapat. Boleh dikata, kini semuanya mampu saya hadapi dengan sebaiknya dan penuh rasa tanggungjawab.

"Kalau dulu, saya mungkin masih muda dan perlu masa untuk belajar banyak perkara supaya dapat disesuaikan dengan status diri. Apatah lagi, saya bertemu jodoh pada usia muda dan ketika itu, kerjaya seni berada di puncak," katanya.

Berbicara pula mengenai situasi pandemik Covid-19, Adira berkata, sejak tahun lalu dia pun berhadapan masalah pendapatan terjejas kerana tidak ada persembahan nyanyian diterima berikutan penularan virus itu.

"Sudah lebih setahun, kita semua berdepan dengan Covid-19 yang belum reda ini. Pendapatan saya juga terjejas, tapi sentiasa yakin rezeki Allah itu ada dalam pelbagai bentuk. Tak semestinya pada kewangan saja.

"Saya sendiri sangat bersyukur dengan rezeki kesihatan yang dipelihara ini. Saya sentiasa berdoa, semoga sentiasa berada dalam keadaan baik. Malah, Allah berikan juga rezeki bahagia," katanya.

SUDAH rezeki, Adira tak sangka sering dapat peluang rakam lagu OST drama.
SUDAH rezeki, Adira tak sangka sering dapat peluang rakam lagu OST drama.

Adira berkata, selepas kira-kira 70 peratus pendapatannya terjejas akibat Covid-19, dia melihat situasi itu dengan positif kerana harus berusaha bangkit mencari penyelesaian demi meneruskan kelangsungan hidup. Baginya, dia lebih gembira ada pendapatan sendiri.

"Disebabkan tidak ada tawaran menyanyi, saya beranikan diri cuba menceburi bidang perniagaan. Pada masa sekarang, saya kena lakukannya untuk pendapatan sampingan berikutan kita tidak tahu bila pandemik ini berakhir.

"Syukur, hingga kini rezeki saya masih ada dan tidak putus. Walaupun jumlahnya tidak banyak dan bayaran diterima pun berpatutan, itu sudah memadai kerana 'wang masuk' ke akaun sentiasa ada," katanya.

Menurut Adira, dia juga berhemat ketika berbelanja. Mujur dia memang tiada sikap boros dan tidak sanggup membeli apa saja barang dijual bagi kepuasan diri. Kini, paling utama baginya keselesaan anak-anak.

Rakam lagu tema drama

Pembabitan Adira dalam rakaman lagu runut bunyi atau OST pastinya sudah tidak asing lagi. Malah, dia turut memegang gelaran Ratu Lagu OST.

Cukup dikenali dengan lagu Pujaan Hati untuk OST drama Pujaan Hati Kanda dan Maaf (drama Maaf Tak Indah) di TV3, Adira berkata, dia memang sering mendapat tawaran merakamkan lagu untuk OST.

"Sebagai penyanyi, saya okey saja menyanyikan sebarang lagu asal sesuai melodi dan liriknya dengan vokal. Saya tidak memilih kerana kebanyakan karya lagu diterima itu memang sedap didengar.

"Syukur kerana kebanyakan lagu saya memang jadi OST drama. Malah, jika tiada aral saya juga akan masuk ke studio untuk merakamkan satu lagu baharu yang akan dijadikan OST drama," katanya.

Menurut Adira, dengan kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepadanya untuk merakamkan sesebuah lagu, tidak boleh diambil mudah. Oleh itu, dia akan pastikan komited pada tanggungjawab kerjanya.

"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih di atas segala peluang yang diberi. Bagi saya, memang wajar untuk melakukan yang terbaik dalam kerjaya nyanyian kerana mendapat kepercayaan orang lain itu, tidak mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:00 AM