GAMBAR hiasan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
GAMBAR hiasan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lima daerah di Kedah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari berkuat kuasa tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima daerah terbabit adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan perkembangan terkini kes Covid-19 di kawasan berkenaan yang mencatatkan peningkatan kes.

"Dalam tempoh 14 hari sehingga semalam, KKM mengesahkan sebanyak 709 kes aktif direkodkan di kelima-lima daerah itu selepas berlaku penularan jangkitan membabitkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP berkuat kuasa 1 Mei hingga 14 Mei ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP itu bertujuan menyekat penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di Kedah semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:01 PM