MASJID Kampung Bukit Cina kekal utuh walaupun sudah berusia 160 tahun. FOTO Nazri Abu Bakar
MASJID Kampung Bukit Cina kekal utuh walaupun sudah berusia 160 tahun. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Catatan dalam tulisan jawi di pintu Masjid Kampung Bukit Cina yang berusia 160 tahun mengesahkan rumah ibadat itu dibina hasil gotong-royong penduduk, sekali gus menyingkap sejarah pembinaannya.

Malah, maksud ayat itu jelas menggambarkan keadaan penduduk yang menekankan semangat kerjasama dan kecintaan mereka kepada agama dan Ilahi.

Antara catatan: "1861 (12 Ramadan hari Isnin) dewasa ini ada menyatakan zaman penghulu Haji Hasan Abd Rahman, berkampung muafakat sekalian orang tua-tua segala anak buah mendirikan satu masjid tempat sekalian hamba Allah SWT berhenti sembahyang di dalam kampung Bukit Antahi."

CATATAN sejarah kampung Bukit Cina. FOTO Nazri Abu Bakar
CATATAN sejarah kampung Bukit Cina. FOTO Nazri Abu Bakar

Tulisan dalam bentuk ukiran kayu itu masih dalam keadaan baik dan jelas.

Ia seraya membuktikan Masjid Kampung Bukit Cina dibina pada 1861 selain menyimpan pelbagai rahsia jerih perit masyarakat terdahulu untuk membinanya.

Imam masjid berkenaan, Rahim Bakar, 67, berkata, hanya maksud Bukit Antahi itu sukar difahami sama ada ia merujuk kepada nama kampung itu sebelum ini atau ada makna lain.

Menurutnya, berdasarkan catatan itu, masjid dibina hasil sumbangan dana masyarakat diketuai individu yang mahir dalam seni pertukangan berasal dari Acheh.

LOTENG kayu yang menarik dan masih dalam keadaan sempurna. FOTO Nazri Abu Bakar
LOTENG kayu yang menarik dan masih dalam keadaan sempurna. FOTO Nazri Abu Bakar

"Masjid yang dibina dengan campuran batu dan kayu berlian ini masih mengekalkan ciri asal namun beberapa kerja baik pulih dijalankan bagi memastikan masjid ini kekal kukuh.

"Tiang, dinding, batu dan mimbar masjid tetap mengekalkan bahan asal.

"Bukan itu saja malah kami masih menyimpan bedok dan ketuk-ketuk yang digunakan sebagai penentu masuk waktu solat, waktu berbuka puasa selain jika ada kematian dalam kalangan penduduk," katanya.

MIMBAR asal Masjid Kampung Bukit Cina. FOTO Nazri Abu Bakar
MIMBAR asal Masjid Kampung Bukit Cina. FOTO Nazri Abu Bakar

Menurut beliau, bukan itu saja malah loteng masjid juga masih berkeadaan baik. Pintu masjid yang dibina menggunakan kayu berlian juga masih kukuh.

Sementara itu, Setiausaha masjid, Sheikh Ibrahim Sheikh Ali, 62, berkata, pada zaman dahulu, ada banyak kediaman dalam kariah berkenaan termasuk di Bukit Cina Luar dan Dalam, Lorong Bukit Cina, Bunga Raya Pantai dan Jalan Bukit Cina.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan agresif menyebabkan hanya kira-kira 40 kediaman di kampung berkenaan yang masih berbaki.

BEDOK yang masih dijaga rapi. FOTO Nazri Abu Bakar
BEDOK yang masih dijaga rapi. FOTO Nazri Abu Bakar

"Namun jemaah untuk solat Jumaat masih ramai kerana kampung berkenaan terletak dalam kawasan Bandaraya Melaka.

"Perigi asal masjid ini juga masih kekal. Ia akan digunakan jika kawasan kampung dan Bandaraya Melaka mengalami masalah air," katanya.

Malah katanya, krisis air pada 1990 menjadikan perigi berkenaan tumpuan orang ramai mendapatkan bekalan air kerana ia tidak pernah kering.

KETUK-ketuk yang masih baik keadaannya. FOTO Nazri Abu Bakar
KETUK-ketuk yang masih baik keadaannya. FOTO Nazri Abu Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:05 AM