ALBUM solonya R berjaya mencipta sejarah.
ALBUM solonya R berjaya mencipta sejarah.
Georgie Joseph

KEPUTUSAN nekad penyanyi Rose, 24, berkelana sendirian ke negara asalnya Korea Selatan pada 2012 bukan mudah. Pengorbanan dilakukannya cukup besar kerana bukan saja berhenti sekolah, bahkan dia terpaksa berjauhan dengan keluarga di Melbourne, Australia.

Ketika itu, dia baharu berusia 15 tahun dan masih terlalu muda untuk mengenal dunia. Bagaimanapun, dia turutkan kata hati demi mengejar kerlip bintang bergelar sensasi K-Pop selepas dilamar agensi tersohor, YG Entertainment.

Cintanya terhadap bidang muzik yang menebal mengatasi segalanya dan kekuatan itu menjadi senjatanya. Padahal, dia tahu proses menuju ke puncak penuh ranjau dan lebih menakutkan, impiannya mungkin binasa di tengah jalan.

Rose atau nama sebenarnya Roseanne Park perlu melupakan keseronokan zaman remajanya dengan mendedikasikan masa, keringat dan tenaga kepada latihan intensif di agensi itu. Ada masa, dia bersama pelatih lain terputus hubungan dengan dunia luar.

Bagaimanapun, kelananya itu berbaloi dan hakikatnya mengubah kehidupan Rose, 360 darjah. Dia berjaya menonjol dalam kalangan anak muda yang mencuba nasib di YG Entertainment untuk mengisi kekosongan kumpulan BLACKPINK.

Tidak semena-mena, Rose bersama tiga lagi rakan anggota lain, Jennie, Jisoo dan Lisa terus ke puncak dunia. Sejarah demi sejarah dicipta mereka, bahkan kini BLACKPINK adalah kumpulan wanita nombor satu dalam dunia.

Mengimbas kembali permulaan kerjayanya, dia mengakui keputusan dan pengorbanannya cukup meresahkan. Mana tidak, pada awalnya dia mendapat tentangan ramai pihak dan menyifatkan pengalaman itu ibarat kenangan ngeri.

"Saya memutuskan untuk berhenti sekolah dan semua guru serta kawan-kawan saya terkejut. Mereka bertanyakan kenapa saya kena meninggalkan persekolahan dan tiada siapa mengerti mengenai K-Pop.

"Justeru, mereka tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku. Pengalaman itu memang sangat menakutkan," katanya.

Kerisauan Rose terus berganda apabila memulakan sesi latihannya di Korea Selatan. Dia tidak tahu apa yang akan dilaluinya dan bagaimana penerimaan dirinya di sana terutama dalam kalangan pelatih lain.

Penyanyi terbabit turut berkongsi hari-hari awalnya sewaktu pertama kali bertemu dengan anggota BLACKPINK lain. Menurutnya, dalam hati cuma bersarang rasa gementar apalagi dia pelatih baharu.

TINGGALKAN keluarga di Melbourne untuk bergelar sensasi K-Pop di Korea Selatan pada usia 15 tahun satu perjuangan yang cukup besar.
TINGGALKAN keluarga di Melbourne untuk bergelar sensasi K-Pop di Korea Selatan pada usia 15 tahun satu perjuangan yang cukup besar.

"Saya adalah anggota paling baharu, jadi memang semuanya masih asing. Saya masuk (pusat latihan) dan melihat terdapat ramai wanita ditempatkan dalam sebuah bilik. Saya masih ingat perasaan ketika itu memang takut," katanya.

Itu cerita berkumpulan dan titik mula kariernya. Kini, Rose terus terbang tinggi apabila jalannya dibuka agensi itu untuk merealisasikan projek solonya pula. Kelebihan padanya, peminat setia BLACKPINK sudah ternanti-nanti projek solo berkenaan.

Berbekalkan sistem sokongan yang sudah terlalu padu itu, bukan semestinya menjadi jaminan untuk pertaruhan solonya berhasil. Namun, rezeki memihak kepadanya apabila dia turut mencipta sejarah dengan berdiri atas nama sendiri.

Kejayaan Rose kian berganda

Awal Mac lalu, menjadi titik keramat jenama Rose dilaungkan di seluruh dunia. Melancarkan albumnya berjudul R, dia serta-merta mengaut pujian dari seluruh dunia termasuk pengkritik muzik profesional.

Menurut pengulas muzik dari NME, Rhian Daly, dua lagu pertama yang dipertaruhkan iaitu R dan On The Ground menjadi testimoni kukuh mengenai kehebatan muzikal Rose. Baginya, Rose tidak perlu aspek lain untuk membuktikan hal itu lagi.

"Dia membuktikan vokalnya yang cukup mantap dan corak penulisan lagunya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Aspek itu juga tidak semestinya berdasarkan penghasilan karya yang cukup besar dan menyerlah," katanya.

Sebaik pelancaran itu, On The Ground terus mencipta rekod menjadi video paling tertinggi tontonannya di platform penstriman terkenal, YouTube. Ia ditonton lebih 41.6 juta dalam tempoh sehari, sekali gus meleburkan rekod terdahulu.

Rekod itu tidak lain milik rakan senegaranya, Psy yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu Gangnam Style pada 2012. Jumlah tontonan video lagu berkenaan cuma 36 juta dalam tempoh 24 jam.

Tidak lama selepas itu, Rose memecahkan pula rekod untuk carta terkenal dunia, Billboard Hot 100 menerusi lagu On The Ground. Lagu berkenaan menjadi lagu kedua penyanyi solo wanita K-Pop yang berjaya menembusi carta itu.

Kejayaannya terus berganda apabila menjadi penyanyi solo Korea Selatan pertama dalam tempoh 19 tahun kebelakangan ini terjual laku albumnya. Album R itu, sudah terjual lebih setengah juta pada 20 April lalu.

Berita gembira itu dimaklumkan YG Entertainment yang mengambil data daripada perkhidmatan carta muzik Hanteo. Hanteo adalah syarikat yang menyediakan statistik paling tepat mengenai penjualan album.

Menurut agensi terbabit, mereka tidak terkejut pun dan sudah menjangkakan album itu mampu mencecah angka berkenaan. Hal itu kerana, penjualan awalnya iaitu pada minggu pertama pun, sudah mencecah lebih 440,000 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 6:00 AM