PELAJAR SMK Seri Mulia Kuala Lumpur, Cheras di dalam kelas, 23 Apr lalu mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan duduk jarak satu meter bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO Owee Ah Chun
PELAJAR SMK Seri Mulia Kuala Lumpur, Cheras di dalam kelas, 23 Apr lalu mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan duduk jarak satu meter bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO Owee Ah Chun
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited meneruskan sesi persekolahan kerana prosedur operasi standard (SOP) di sekolah diyakini dapat mengawal penularan Covid-19, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, data-data yang diperolehi jelas menunjukkan bahawa sekolah adalah selamat dan bukan tempat pencetus kluster Covid-19 seperti yang dikatakan pelbagai pihak.

Data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan daripada 99 kluster pendidikan, 52 daripadanya adalah membabitkan sekolah di bawah KPM dengan 2,274 kes.

"Ia adalah 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster atau 2.07 peratus daripada kes kluster.

"Daripada kes itu 1.42 peratus atau 1,559 kes membabitkan sekolah berasrama dan hanya 0.53 peratus atau 585 kes sekolah bukan asrama, tidak sampai satu peratus pun," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

MOHD Radzi ketika sidang media berkaitan isu semasa pengoperasian sekolah di Putrajaya. FOTO ihsan  KPM
MOHD Radzi ketika sidang media berkaitan isu semasa pengoperasian sekolah di Putrajaya. FOTO ihsan KPM

Terdahulu menurut KKM setakat ini 60.8 peratus kes Covid-19 di Malaysia adalah kes sporadik dan baki 39.2 peratus membabitkan kes kluster.

"Jika kita melihat 60.8 peratus kes sporadik, dalam konteks ini, the kids are expose to (Covid-19) anywhere (kanak-kanak terdedah kepada Covid-19 di mana sahaja), cumanya dalam keadaan di sekolah murid-murid berada dalam keadaan terkawal kerana SOP memang telah ditetapkan. We're not saying we're perfect (Kami tidak mengatakan kami sangat baik) tetapi kita akan sedaya upaya memastikan jangkitan di sekolah dapat diminimakan dengan SOP yang kita tetapkan," katanya.

Radzi berkata, bagi memperketatkan pematuhan SOP di asrama, pihaknya akan menambahbaik langkah-langkah pematuhan SOP melalui pasukan petugas (task force) khas yang ditubuhkan.

Bagaimanapun arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan jika keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat ini katanya, SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif diselaraskan iaitu ditutup dua hari dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:41 PM