ZHANG Nan ditahan selepas disyaki memperdaya 20 wanita untuk mendapatkan wang dengan mudah. Gambar kecil, kereta mewah dibeli suspek. FOTO Agensi
ZHANG Nan ditahan selepas disyaki memperdaya 20 wanita untuk mendapatkan wang dengan mudah. Gambar kecil, kereta mewah dibeli suspek. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang lelaki buaya darat di China bukan hanya pandai bermain kata bahkan mengatur strategi licik untuk memperdaya 20 wanita dalam tempoh dua tahun.

Semua wanita itu dijadikan kekasihnya dengan sekurang-kurangnya tiga wanita tinggal di blok kediaman sama dan berkongsi kasih pada masa sama.

Lelaki dikenali Zhang Nan itu juga menggunakan semua wanita terbabit sebagai 'sumber pendapatannya' apabila memperdaya mereka untuk mendapatkan wang bagi memenuhi nafsu berbelanja termasuk membeli kereta mewah seperti Ferrari, Lamborghini atau Porsche.

Kegiatannya terbongkar selepas seorang wanita membuat laporan di balai polis di Zhengzhou, wilayah Henan pada 20 Mac lalu mendakwa kerugian lebih 9 juta yuan (RM5.3 juta) akibat diperdaya teman lelaki yang dikenali pada 2019.

Mangsa mendakwa Zhang Nan mengaku anak dan cucu pemimpin tinggi kerajaan dan meminta wang daripadanya.

Kes itu menjadi lebih menarik apabila siasatan polis mendedahkan Zhang memperdaya sekurang-kurangnya 20 wanita dalam tempoh sama, dan hangat dilapor media tempatan.

Selain membeli kereta mewah, dia menggunakan wang daripada mangsa untuk melancong dan berjudi.

Mangsa kedua yang ditemui polis juga mengaku mengenali Zhang Nan pada 2019 selepas bercerai dengan bekas suami, dan terpedaya apabila Zhang Nan kerap memberi wang saku kepadanya dan memindah milik kereta mewah, yang akhirnya diketahui geran palsu.

Wanita ini hanya menyedari ditipu selepas seorang wanita menghubungi mendakwa lelaki terbabit kekasihnya. Mereka berjumpa sebelum sedar bahawa mereka menginap di bangunan sama dan ada beberapa wanita lain menjadi mangsa.

Susulan kisah tular lelaki itu, polis menasihati wanita lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan lelaki yang meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:35 AM