ISMAIL Sabri beramah mesra dengan Jizalle Ally yang menerima bantuan di  Pulada Johor.
ISMAIL Sabri beramah mesra dengan Jizalle Ally yang menerima bantuan di Pulada Johor.
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: "Tersenyum dia bila nampak Datuk Seri. Syukur dia tidak meragam walaupun pertama kali berjumpa," kata Susanie Samangin, 35.

Pasangan suami isteri, Susanie dan anggota berpangkat Sarjan Joy Rendy Ujoi, 36, antara penerima sumbangan sempena lawatan kebajikan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini.

Susanie memaklumkan anak lelakinya, Jizzale Ally, 10, menghidap penyakit Cerebral Palsy sejak berusia sembilan bulan ketika suaminya, Joy Rendy bertugas di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Dia mula dikesan tidak aktif seperti kanak-kanak normal yang lain. Selepas disahkan doktor menghidap penyakit itu, kami tetap sabar membesarkannya sehingga kini.

"Amat bermakna bagi kami kali ini apabila terpilih pada lawatan Datuk Seri (Ismail Sabri) untuk melihat keadaan anak saya yang sakit kronik, apatah lagi dia suka apabila melihat orang ramai datang.

"Sedikit sebanyak sumbangan diberikan meringankan beban kami sekeluarga selain menjaganya yang memerlukan rawatan empat kali sebulan termasuk fisioterapi," katanya.

Pada lawatan berkenaan, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Haryana Jistar mewakili cahaya matanya, Samuel Aldine, 10, yang mempunyai masalah pendengaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:00 AM