Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Niat seorang pemuda menghadiahkan motosikal hanya untuk kesenangan bapanya, Mazlan Ali yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berulang-alik ke tempat kerja.

Namun, peniaga dalam talian, Hazrin Fikri Mazlan, 29 yang menetap di Kampung Pandan, di sini, tidak menyangka pemberian itu menunaikan impian bapanya yang sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal model Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai 'Ysuku'.

Kisah dua beranak itu mendapat perhatian netizen selepas Hazrin memuat naik video di TikTok.

Menerusi video itu, kelihatan Hazrin memberi kejutan kepada Mazlan, 53 dengan mengajak bapanya ke tingkat bawah rumah.

Sebaik berada di bawah, Hazrin menunjukkan motosikal berwarna biru yang dihadiahkan khas untuk bapanya.

Bagaimanapun, dia sebak apabila bapanya dilihat tergamam dan terus mengangkat tangan sebagai tanda syukur.

HAZRIN (kanan belakang) dan keluarga besarnya. FOTO Ihsan Hazrin Fikir Mazlan.
HAZRIN (kanan belakang) dan keluarga besarnya. FOTO Ihsan Hazrin Fikir Mazlan.

Berkongsi kisah di sebalik perkongsian itu, Hazrin berkata, kejutan buat bapanya dilakukan November tahun lalu cuma video berkenaan baru dimuat naik selepas membuka akaun TikTok, baru-baru ini.

"Saya memang tidak tahu abah mengidam motosikal Ysuku dan tiada perancangan membelinya tetapi entah kenapa, hati saya tergerak untuk menghadiahkannya pada hari itu.

"Lagipun, motosikal lamanya sudah uzur dan kerap rosak jadi niat saya membelikan yang baru bagi memudahkannya berulang alik dari rumah ke tempat kerja.

"Saya sebak melihat reaksi abah yang terus mengangkat tangan memanjatkan syukur ketika menerima motosikal berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, motosikal itu dibeli dengan wang simpanannya sendiri dan dia gembira melihat impian bapanya tercapai.

"Sebelum ini, saya dan adik beradik pernah membawa abah makan bersama atau memberinya telefon bimbit ketika hari ulang tahun kelahirannya.

"Cuma, abah nampak lebih teruja ketika menerima motosikal itu mungkin kerana sudah lama mengidamkannya," katanya yang mempunyai tiga anak berumur lima, tiga dan setahun lapan bulan.

Berhubung video dimuat naiknya, Hazrin berharap perkongsiannya itu memberi inspirasi kepada yang menonton untuk menghargai ibu bapa selagi ada.

"Saya tidak menyangka video itu akan meraih tontonan tinggi tetapi bersyukur apabila menerima komen positif daripada pengguna TikTok.

"Namun, ada juga berasa sebak dan bersalah selepas terbaca komen perkongsian segelintir individu yang tersentuh menonton video itu kerana sudah kehilangan ibu bapa.

"Terima kasih kepada semua yang memberi kata positif dan diharap, video semua dapat terus menghargai ibu bapa dengan apa cara sekalipun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 8:00 PM