GAMBAR fail Putera Philip yang dirakam pada 16 Mac 2021. FOTO AFP
GAMBAR fail Putera Philip yang dirakam pada 16 Mac 2021. FOTO AFP
Agensi

London: Suami kepada Ratu Elizabeth II, Putera Philip, 99, meninggal dunia di Istana Windsor, hari ini.

Perkara itu diumumkan menerusi Twitter rasmi The Royal Family.

Portal Independent melaporkan, Istana Buckingham mengesahkan kematian Duke of Edinburgh sekitar tengah hari ini beberapa minggu selepas baginda meninggalkan hospital sebaik menerima rawatan kerana jangkitan.

Baginda dimasukkan ke hospital swasta pada 16 Februari selepas memberitahu doktor baginda tidak sihat tetapi masuk ke dalam bangunan itu tanpa bantuan.

Putera Philip kemudian dipindahkan ke Hospital St Bartholomew pada 1 Mac selepas dua minggu dirawat.

Sepanjang menerima rawatan, suami kepada Ratu Elizabeth itu hanya menerima kunjungan daripada putera sulungnya yang juga pewaris takhta, Putera Charles.

Seminggu kemudian, Istana Buckingham mengesahkan dia menerima rawatan untuk jangkitan.

Philip yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-100 pada Jun depan menghabiskan waktu ketika pandemik dengan Elizabeth di Windsor dan baginda berdua sudah mendapat suntikan vaksinasi pada Januari.

Putera Philip bersara daripada tugasan menghadiri semua upacara rasmi awam, pada 2017.

Februari lalu, Putera Philip dimasukkan ke Hospital King Edward VII di London selepas dilaporkan tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:59 PM