Geng Lanun Merah Black Maria 360 bina ‘port’ aktiviti haram di pesisir Kampung Pendamar sejak lima tahun lalu. FOTO GOOGLE MAPS
Geng Lanun Merah Black Maria 360 bina ‘port’ aktiviti haram di pesisir Kampung Pendamar sejak lima tahun lalu. FOTO GOOGLE MAPS
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Klang: Kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 didapati membina beberapa kelong di pesisir Kampung Pendamar di sini, untuk dijadikan port atau sarang operasi haram mereka.

Ia antara kelong utama kumpulan terbabit yang dibina Mr A dan Ms S dipercayai sejak lima tahun lalu serta didakwa menjadi tempat pendaratan pelbagai aktiviti haram didalangi mereka termasuk penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dadah.

Tinjauan Skuad Khas Harian Metro di lokasi selama lebih lima jam baru-baru ini mendapati beberapa individu dilihat keluar masuk ke kelong berkenaan.

Mereka dipercayai pekerja dan ahli sindiket kumpulan berkenaan yang digajikan Mr A bagi menjalankan kegiatan haram itu.

Pemerhatian juga mendapati ada warga Indonesia di pintu pagar utama kelong berkenaan. Mereka dilihat sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dalam kawasan kelong itu.

Lensa jurugambar juga berjaya merakam aktiviti mereka yang bermula sekitar jam 2 hingga 6 petang.

Usaha wartawan untuk memasuki kelong itu gagal apabila premis terbabit ditutup menggunakan zink di sepanjang kawasan berkenaan.

Selain itu, hasrat memasuki kelong itu terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan selain bimbang kehadiran disedari ahli sindiket dan 'sapu air' yang ditugaskan kumpulan terbabit untuk menjaga kawasan berkenaan.

Sumber memaklumkan bahawa kelong dibina Mr A dengan wang haram bernilai ratusan ribu ringgit itu dibuat secara haram tanpa kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, bukan sekadar membina kelong di tapak haram dan tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa, kumpulan itu juga dikesan menebang pokok bakau di kawasan berkenaan sesuka hati sebelum ia dijual.

Ketika tinjauan dilakukan, wartawan Skuad Khas Harian Metro juga mendapati wujud aktiviti pembuangan sampah di kawasan tapak bersebelahan kelong berkenaan.

Kelihatan beberapa lori sampah sedang membuang sampah di kawasan berkenaan yang dipercayai dilakukan secara haram dikendalikan kumpulan terbabit.

Mereka melakukan kegiatan itu seperti 'kebal' daripada tindakan pihak berkuasa dan dilihat melakukannya secara terbuka serta tanpa rasa takut.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan berhampiran yang enggan namanya disiarkan berkata, pelbagai aduan mengenai bau busuk dan pencemaran air di kawasan itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, aduan terbabit diibaratkan seperti 'menuang air di daun keladi' apabila tiada tindakan diambil pihak berkuasa bagi mengatasinya.

"Nak lebih-lebih nanti bahaya, mereka ini kumpulan samseng, ramai ahlinya.

"Saya dan penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan. Jika tidak, ekosistem dan kawasan ini akan terus dicemari serta dipenuhi dengan kegiatan jenayah terancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 9:00 AM