Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menyita tanah di 111 lokasi selain tujuh bangunan dan 1,109 kereta termasuk kenderaan mewah milik geng 'raja dadah Malaysia' sepanjang tahun lalu.

Ia sebahagian daripada harta dan aset milik mereka yang keseluruhannya berjumlah RM501,032,797.54 disita polis dan dianggap sebagai jumlah sitaan terbesar dalam sejarah.

Kejayaan itu diraih susulan kesungguhan polis menggempur dan menahan ribuan dalang sindiket dadah membabitkan 4,884 kes sepanjang 2020.

Namun di sebalik kejayaan itu, polis mengakui kesukaran mensabitkan 'raja dadah' atau 'El Chapo Malaysia' dengan hukuman gantung sampai mati susulan tiada bahan bukti bersama suspek ketika diberkas.

Difahamkan king pin dadah itu berperanan sebagai ketua yang mengkoordinasi sesuatu sindiket menyebabkan mereka sukar dibuktikan bersalah di mahkamah manakala semua aktiviti haram itu pula digerakkan ahli sindiketnya yang lain.

Ada antara mereka berselindung di sebalik gelaran kenamaan dan menjalankan aktiviti 'halal' sebagai ahli perniagaan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa serta masyarakat sekeliling sedangkan kekayaan luar biasa itu dikumpul hasil aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di dalam serta luar negara sehingga ada yang memiliki premis memproses dadah sendiri.

Taktik licik itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain ketika diwawancara eksklusif wartawan Harian Metro, baru-baru ini.

Beliau berkata, kebanyakan king pin ini terlepas dan tidak dapat dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati kerana tidak memiliki dadah.

"Mereka lebih kepada menjadi koordinator, duduk di rumah dan keluar bersama rakan seolah-olah mereka langsung tidak terbabit.

"Bagaimanapun, hasil risikan dan tangkapan dilakukan akan membongkar kegiatan individu itu. Daripada siasatan, kami akan ambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Kami akan sita semua harta dan aset milik king pin sehingga mendapat arahan mengikut ADB (pelucuthakan harta) 1988," katanya.

Razarudin berkata, king pin selalunya tiada hubung kait antara satu sama lain dan melalui siasatan, ia membabitkan orang tempatan dan dari luar negara.

Beliau berkata, sitaan harta king pin dibuat bagi memastikan aktiviti mereka lumpuh, malah bagi tangkapan membabitkan warga asing akan dibuat persona non grata iaitu apabila habis menjalani hukuman di negara ini, mereka tidak dibenarkan masuk ke Malaysia semula.

"Bagi tahun lalu sahaja, sebanyak 305 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan penahanan seramai 1,204 orang termasuk dalang sindiket dadah tempatan," katanya.

"Bagi tahun ini pula setakat 9 Mac lalu, 26 sindiket pengedaran dadah ditumpaskan membabitkan 97 individu yang ditahan," katanya.

Beliau berkata, bagi jumlah kes mengikut ADB (pelucuthakan harta) 1988, terdapat sebanyak 5,570 kes pada 2019 dengan nilai harta sitaan RM99,450,227.50 dan nilai harta dilucuthak pula RM5,112,069.20.

Katanya, bagi tahun lalu, sebanyak 4,884 kes membabitkan nilai sitaan harta berjumlah RM501,032,797.54 manakala nilai harta dilucuthak pula RM11,428,847.30.

"Bagi tahun 2019, seramai 24 orang disabitkan mengikut Seksyen 39B(2) ADB 1952 manakala tahun lalu, lapan orang dan tahun ini setakat Januari lalu, belum ada yang dituduh mengikut seksyen itu yang membawa hukuman gantung sampai mati.

"Nilai rampasan dadah pada 2019 sebanyak RM2.74 bilion manakala tahun lalu RM454.90 juta dan setakat Januari tahun ini berjumlah RM168.26 juta," katanya.

Beliau berkata, rampasan dan sitaan tidak hanya membabitkan wang tunai malah polis turut merampas beratus kereta mewah, barang kemas, aset rumah dan hartanah.

"Tidak mustahil ada antara harta penjenayah ini disembunyikan atau dipindahkan ke luar negara melalui pelbagai taktik termasuk peranan proksi atau orang suruhan yang diamanahkan," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain. FOTO BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 1:46 PM