SHARNAAZ tapis setiap tawaran untuk dapat watak sesuai
SHARNAAZ tapis setiap tawaran untuk dapat watak sesuai
Norhayati Nordin

NAMA Sharnaaz Ahmad pastinya tidak asing dalam industri hiburan tanah air. Apatah lagi, sikapnya yang lantang bersuara serta terbuka berkongsi pandangan terhadap sesuatu perkara.

Bagaimanapun, Sharnaaz juga hebat di pentas lakonan apabila dramanya seperti Setitis Kasih Damia, Suamiku Encik Sotong, Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Ruby dan banyak lagi hingga kini terus diminati.

Malah, gandingannya bersama Tiz Zaqyah, Azar Azmi, Sharifah Sakinah dan Azira Shafinaz dalam drama Isteri Misteri di TV3 yang turut ditayangkan di saluran Viu menarik perhatian ramai.

Berbicara mengenai kerjaya lakonannya, Sharnaaz berkata, dia akan menapis setiap tawaran diterimanya untuk mendapatkan watak sesuai dan enggan mengambil sembarangan watak.

"Kebanyakan drama Melayu setakat ini, saya dapati kisahnya tak banyak beza. Jalan cerita hampir sama dan untuk itu saya selesa tapis dulu tawaran yang datang.

"Bukan saya nak 'demand' dengan watak, tapi saya suka mencari mana yang okay. Jika dirasa kurang sesuai, watak itu bukan untuk saya dan mungkin milik pelakon lain.

"Saya tapis mana watak yang dirasa bagus untuk dilakonkan, baru ambil. Jika kurang sesuai, tak apa kerana dalam soal rezeki ini, Allah sudah tentukan. Tak perlu nak rebut-rebut," katanya.

Menurut anak jati Pulau Pinang ini, kemunculan ramai pelakon baru juga memberi peluang kepada mereka menerima watak disediakan dan mungkin lagi bagus lakonannya.

"Sekarang saya akan terima mana-mana projek berlakon yang saya rasa nak buat kerana watak dan jalan ceritanya menarik. Namun jika tawaran itu tak diambil, terserah pada pelakon lain.

"Saya sentiasa positif saja. Lagipun selain kerjaya seni, saya juga bersyukur ada perniagaan nak diuruskan. Jadi, fokus itu seiring dan lebih penting segala urusan teratur dengan baik," katanya.

TAK perlu rebut-rebut, Sharnaaz akur rezeki ditetapkan Allah.
TAK perlu rebut-rebut, Sharnaaz akur rezeki ditetapkan Allah.

Menurut bapa tunggal berusia 36 tahun ini, dia juga tidak meletakkan bayaran tinggi untuk projek lakonan diterima asalkan bayaran ditetapkan setimpal dan berpatutan.

Turut menguruskan perniagaan minuman Bubble Bee, Sharnaaz berkata, dia kini memberi tumpuan kepada perniagaan itu.

Katanya, walaupun kini masih 'belum selamat' berikutan pandemik Covid-19, namun sambutan daripada pelanggan tetap ada.

Sepanjang sedekad berkecimpung dalam dunia seni sejak 2009, Sharnaaz sudah berupaya memahat nama dan bakatnya. Malah, dia juga ada pencapaian peribadi tersendiri sudah diraih.

Lakonan Sharnaaz dalam filem tempatan juga mantap seperti watak Lan Todak menerusi Juvana, Roy (Gila Baby), Ady

(Darah Panas) dan Jebat (Jebat). Tidak terkecuali, dia juga melakonkan watak Reza dalam Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof.

Tenang hidup solo

Kecundang dalam rumah tangga dibina tahun lalu, Sharnaaz mengakui banyak yang dipelajarinya dalam kehidupan, sekali gus menjadikan dia semakin matang.

"Alhamdulillah, saya selesa saja hidup solo ketika ini kerana yang penting anak saya, Jebat Jaydeen, 3, sentiasa ada. Dia (Jebat) sudah melengkapkan kebahagiaan saya.

"Untuk mencari calon isteri baru, nanti dulu. Saya tak mahu serabut-serabut lagi. Sekarang, saya gembira dan soal itu (jodoh) biar Allah tentukan.

BAHAGIA dan tenang, Jebat pelengkap hidup Sharnaaz.
BAHAGIA dan tenang, Jebat pelengkap hidup Sharnaaz.

"Paling utama, dalam banyak perkara yang sudah berlaku ini sangat mengajar saya menjadi lebih matang. Alhamdulilllah, kini saya sangat tenang," katanya.

Ditanya juga mengenai tutur katanya yang makin dijaga, Sharnaaz berkata, dia sebenarnya agak selesa berkongsi luahan yang dirasakan di media sosial seperti Instagram.

Katanya, dia juga jarang menjawab panggilan media kerana bimbang tidak dapat mengawal tutur kata. Jadi, dia lebih memilih membuat perkongsian di media sosial terhadap apa yang ingin diluah dan diperkatakan kerana lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:39 AM