Muhammad Ariff menunjukkan mesin memproses minuman miliknya. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Ariff menunjukkan mesin memproses minuman miliknya. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tidak tahan melihat ibunya menangis kerana tiada jualan selepas berusaha keras membuatkan bekas jurulatih kecergasan nekad berhenti kerja dan 'terjun' dalam bidang perniagaan.

Muhammad Ariff Muhammad Naim, 23, yang kini mempunyai 26 stokis dan 700 ejen di seluruh negara mengakui dia 'terjun' ke dalam bidang berkenaan semata-mata untuk membantu ibunya, Nurul Zahira Zulkifli, 46, mencari rezeki.

Menurutnya, disebabkan pandemik Covid-19, kiosk kosmetik milik ibunya terjejas sebelum membuka gerai menjual minuman strawberry di Ipoh, Perak.

"Gerai minuman itu dibuka sebagai alternatif untuk menampung perbelanjaan keluarga selepas berdepan masalah kewangan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

"Masalah kewangan berlaku apabila perniagaan kiosk kosmetik diusahakan emak semakin merudum manakala ayah (Muhammad Naim Shafie, 49) pula dipotong gaji bulanannya. Disebabkan terdesak, emak cuba berniaga air strawberry dalam balang yang dihasilkan dengan ramuannya sendiri.

"Sambutan pada awalnya tidak begitu memberangsangkan kerana ada masanya, tiada pelanggan hingga emak seringkali menangis selepas pulang berniaga. Melihat kepayahannya, saya tawarkan diri untuk membantu secara sukarela tanpa mengambil upah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR Muhammad Ariff dan tunangnya menjual di kaki lima  yang tular di Twitter. FOTO ihsan pembaca
GAMBAR Muhammad Ariff dan tunangnya menjual di kaki lima yang tular di Twitter. FOTO ihsan pembaca

Menyedari potensi produk minuman itu, Muhammad Ariff mengambil keputusan berhenti sebagai jurulatih kecergasan untuk berhijrah dan tinggal bersama abangnya, Muhammad Hazzique, 26 di Setapak, Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu.

Katanya, langkah itu diambil bagi memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaannya.

"Selain keluarga, rakan saya antara individu yang menjadi pendorong dan memberi keyakinan bahawa minuman strawberry itu boleh pergi jauh seandainya ditambah baik daripada segi pembungkusannya.

"Atas sebab itu, saya perkenalkan minuman dalam botol dengan pelekat menarik dan mengajak abang berniaga bersama kerana tidak boleh melakukannya sendiri.

"Pada awalnya, kami hanya hasilkan minuman dalam kuantiti sedikit saja dengan mempromosikannya di Instagram (IG) tetapi meningkatkan pengeluaran apabila pesanan bertambah selepas gambar saya dan tunang berjalan menjual minuman tular di Twitter," katanya.

Di sebalik kejaaaan dicapai, Muhammad Ariff pernah berdepan ujian yang hampir membuatnya berputus asa.

"Pernah satu ketika, jumlah pesanan diterima berkurangan dengan mendadak disebabkan kesilapan saya sendiri yang terlepas pandang dalam hal pemasaran.

"Selain itu, saya juga pernah menanggung kerugian 5,000 botol minuman selepas lori rosak ketika dalam perjalanan membuat penghantaran.

"Namun, semua itu adalah cabaran dan kini, perniagaan diusahakan menjadi sumber rezeki yang mengubah nasib saya sekeluarga," katanya.

Untuk rekod, Muhammad Ariff sudah mempunyai mesin memproses minuman yang ditempatkan di sebuah kilang dekat Puncak Alam, Selangor.

MUHAMMAD Arif bersama minuman dijualnya dan (kanan) Muhammad Ariff bersama ibunya, Nurul Zahira. FOTO ihsan pembaca
MUHAMMAD Arif bersama minuman dijualnya dan (kanan) Muhammad Ariff bersama ibunya, Nurul Zahira. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 9:00 PM