HOTEL milik Cynthiara di Banten yang dijadikan sarang pelacuran gadis bawah umur. FOTO Agensi
HOTEL milik Cynthiara di Banten yang dijadikan sarang pelacuran gadis bawah umur. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Sebuah hotel yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dijadikan sarang pelacuran khusus buat remaja bawah umur.

Kejadian itu terbongkar selepas polis melakukan serbuan di sebuah hotel milik artis, Cynthiara Alona di Tangerang Kota, Banten pada 16 Mac lalu.

Serbuan mendapati terdapat 30 bilik hotel berkenaan dipenuhi 15 mangsa eksploitasi seksual bawah umur.

Portal Detik melaporkan, jurucakap polis Metro Jaya Yusri Yunus berkata, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga artis.

Yusri berkata, Cynthiara dikenal pasti sebagai pemilik hotel, manakala dua lelaki lagi berperanan mencari pelacur dan menguruskan hotel berkenaan.

"Cynthiara mengetahui Hotel Alona miliknya dijadikan sarang pelacuran.

"Dia menjadikan hotel itu sarang pelacuran berikutan tiada pendapatan selepas pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, modus operandi mereka terbongkar apabila menawarkan kanak-kanak bawah umur di media sosial.

"Ejen dan bapa ayam cuba memikat mangsa dengan mengajak mereka bercinta.

"Kemudian mereka akan menawarkan mangsa bawah umur dalam media sosial Michat khusus untuk lelaki hidung belang," kata Yusri.

Kejadian itu berlaku selama tiga bulan dan mangsa dijual dengan harga 400,000 rupiah sehingga satu juta rupiah (RM114 hingga RM286).

Datuk Bandar Tangerang, Arief R Wismansyah berkata, hotel itu memperoleh permit beroperasi daripada pihak berkuasa.

"Kita cuma berikan permit hotel secara kontrak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 8:01 AM