SEAN dan Amelia sebagai teraju utama drama Romantika 4 Hari 3 Malam.
SEAN dan Amelia sebagai teraju utama drama Romantika 4 Hari 3 Malam.
Norhayati Nordin


NAMA Sean Lee dan Amelia Henderson pastinya sudah tidak asing dalam industri hiburan tanah air.

Ini kerana selain berlakon mereka juga aktif sebagai pengacara.

Bagaimanapun, dua figura berbakat dan diminati ramai ini cukup hangat dengan drama terbaru lakonan mereka berjudul Romantika 4 Hari 3 Malam yang kini ditayangkan di slot Lestary TV3.

Karya adaptasi novel dengan 13 episod itu diarahkan Nizam Zakaria dan bersiaran dari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam, sejak 10 Mac lalu.

Berbicara mengenai gandingan mereka, Sean berkata, tidak sukar untuk dia membina keserasian dengan Amelia kerana mereka adalah kawan baik. Malah, mereka juga sudah beberapa kali berlakon bersama.

"Cuma, untuk gandingan sebagai pasangan kekasih dan seterusnya suami isteri, ia baru pertama kali. Sebelum ini, dalam beberapa drama terdahulu, kami pernah jadi kawan baik dan adik-beradik.

"Jadi, apa yang paling mencabar buat saya untuk watak Amar Najwan ini, tentunya ketika mahu menjayakan babak perkahwinan. Saya dan Amelia adalah kawan baik dan agak kelakar untuk saya melakonkan babak itu.

"Puas juga saya menahan gelak, termasuk berusaha menjayakan babak romantik di antara kami sebaik mungkin kerana bila melontarkan dialog, memang terasa semuanya lucu," katanya pada sidang media secara virtual, baru-baru ini.

Menurut Sean, dia juga gembira dengan watak Amar Najwan yang disifatkan memberi kelainan pada dirinya.

Katanya, untuk watak itu dia seorang ahli perniagaan berjaya yang mempunyai sikap dingin terutama pada wanita.

"Bagi penonton yang pernah menyaksikan drama-drama lakonan saya, kebiasaan watak yang dilakonkan adalah lelaki ceria dan 'happy go lucky'. Tapi, kali ini saya kena jadi sebaliknya.

"Ia cabaran baru buat saya untuk menjiwai watak Amar Najwan dan merealisasikan watak lelaki dingin yang dalam hidupnya fokus utama hanya pada kerjaya saja. Manakala, sikap sebenarnya saya langsung tidak seperti itu," katanya.

Sean berkata menariknya drama Romantika 4 Hari 3 Malam ini adalah jalan ceritanya, pembawaan watak setiap pelakon serta dilengkapi satu pasukan kerja yang mantap dan saling bekerjasama.

AMELIA sebagai Lana Analia, seorang wartawan majalah.
AMELIA sebagai Lana Analia, seorang wartawan majalah.

Bagi Amelia pula, dia teruja kerana drama ini menunjukkan keupayaan dirinya melakonkan watak wanita lasak yang gemar mencabar diri.

Katanya, watak sebagai Lana Analia itu cukup membuat dia gembira selalu.

"Saya sudah terbiasa melakonkan watak wanita teraniaya dan berendam air mata dalam drama-drama terdahulu. Jadi, apabila dapat peluang menjayakan karekter Lana Analia yang berani mencabar diri dan seorang wanita ceria, ia rezeki buat saya.

"Saya betul-betul suka dan jatuh hati dengan watak ini kerana tidak memerlukan banyak bermain emosi. Ia watak wanita kental yang aktif, kreatif, bahagia dan sentiasa gembira," katanya.

Selain itu, Amelia juga makin fasih berbahasa Malaysia.

Katanya walaupun pelat bahasa Inggeris masih ada, tapi sekurang-kurangnya dia sudah berjaya membawa perubahan besar pada diri sendiri.

"Syukur tak terhingga kerana tahap penguasaan bahasa Malaysia saya sudah baik dan lancar. Jadi, tidak ada tekanan lagi dari aspek percakapan serta saya yakin penonton juga menyedarinya.

"Terima kasih kepada semua penonton drama Romantika 4 Hari 3 Malam ini dan peminat saya yang tidak jemu-jemu menyokong. Saya harap semua orang terhibur menonton drama ini," katanya.

Selain Sean dan Amelia, barisan pelakon lain yang terbabit seperti Syafi Tee, Nynaa Harizal, Wafariena, Zila Bakarin, Sahronizam Noor, Lisdawati, Aida Aris, Dottie dan Jesse Lim.

WATAK lelaki dingin, Amar Najwan beri cabaran pada Sean.
WATAK lelaki dingin, Amar Najwan beri cabaran pada Sean.

Pengalaman 'blind date'

Menyelusuri perjalanan cerita dalam drama Romantika 4 Hari 3 Malam, ia berkisar pada kisah Lana Analia yang bekerja sebagai wartawan majalah dan dia mendapat tugasan mingguannya berkaitan 'blind date'.

Walaupun berat hati melaksanakan tugasan itu, namun demi sebuah bahan bacaan melalui pengalaman sebenar, Lana Analia tetap berjaya menghasilkan beberapa artikel membabitkan temujanji diaturnya dengan lelaki tidak dikenali.

Mengulas mengenai pengalaman 'blind date' itu, Amelia berkata, sehingga kini, secara realiti dia tidak pernah melalui cara terbabit dalam menjalin hubungan dengan lelaki.

Katanya, dia lebih selesa berkenalan dahulu dan kemudian, bersahabat.

"Saya lebih senang jika mengenali dahulu seseorang lelaki itu dan seterusnya kami berkawan. Rasanya, ia lebih baik serta sangat menjamin keselamatan saya sebagai wanita," katanya.

Bagi Sean pula, dia ada pengalaman dipertemukan secara tiba-tiba dengan wanita tidak dikenali oleh seorang rakannya.

Katanya, dia memang tidak tahu-menahu langsung mengenai perancangan itu.

"Saya mendapat mesej daripada seorang rakan yang mengajak keluar makan bersamanya dan kebetulan pada masa itu memang saya tak sibuk. Ketika di restoran, rakan saya yang datang dengan seorang wanita terus memperkenalkan dan katanya, wanita berkenaan dibawa atas sebab dia sangat meminati saya ingin mahu bertemu secara bersemuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 6:00 AM