FAZLIANTI cekal mengubah nasib hidupnya apabil membuka kedai makan sendiri di Seberang Perai sejak November lalu. FOTO ihsan Fazlianti Omar
FAZLIANTI cekal mengubah nasib hidupnya apabil membuka kedai makan sendiri di Seberang Perai sejak November lalu. FOTO ihsan Fazlianti Omar
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Berstatus ibu tunggal tidak menghalang ibu dua anak, Fazlianti Omar untuk tetap cekal mencari punca pendapatan keluarga walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Bagi pengusaha makanan berusia 37 tahun itu, tempoh selepas perceraian Ogos lalu bukanlah masa untuk bersedih, sebaliknya dimanfaatkannya mencari jalan membuka perniagaannya sendiri.

Fazlianti berkata, pengalaman lebih 20 tahun dalam industri makanan memberikannya jalan untuk membuka kedai makannya sendiri di Seberang Perai, Pulau Pinang, pada November lalu, walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.

"Bukan mudah proses membuka kedai atas nama sendiri ketika pandemik kerana kemungkinan berdepan kerugian jika gagal dalam pengurusan.

"Berkat rezeki dan doa, walaupun prosesnya agak lama kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya saya dapat membuka kedai makan sendiri dengan menggunakan modal lebihan wang simpanan yang ada selepas perceraian," katanya dalam satu kenyataan media FOODPANDA Malaysia (Foodpanda).

Fazlianti antara usahawan wanita dipilih Foodpanda untuk berkongsi kisah perjalanan perniagaannya di kala pandemik Covid-19 sempena Hari Wanita Sedunia 2021 pada 8 Mac lalu.

Menceritakan cabaran dalam perniagaannya, Fazlianti berkata, menguruskan perniagaan dalam masa sama perlu memberi perhatian kepada anak berusia 14 dan 15 tahun pastinya sukar.

Katanya, walaupun anggaran keuntungan diperolehnya hanya RM1,500 sebulan, ia cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka tiga beranak.

"Sebelum ini, saya hanya makan gaji dan inilah kali pertama mempunyai syarikat sendiri. Hasil jualan tidak begitu banyak kerana PKP, tetapi masih mendapat sambutan baik pelanggan menerusi platform penghantaran makanan.

"Apabila makan di kedai tidak dibenarkan, 100 peratus hasil jualan perniagaan saya menerusi platform Foodpanda dan bersyukur kerana awal-awal lagi sudah mendaftar," katanya.

Fazlianti berkata, masalah rumah tangga sehingga menyebabkan perceraian sememangnya situasi sukar perlu ditempuhi wanita sepertinya.

Menurutnya, pada ketika itu, emosi dan mental perlu kuat dan dia tidak membiarkan emosi menenggelamkan semangat serta kebolehannya.

Sehubungan itu, dia berharap kaum wanita tidak terlalu memikirkan masa lampau sebaliknya berusaha maju ke hadapan dalam mengubah nasib hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 9:12 PM