SEORANG petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech  di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang. Program menyeluruh Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuat dalam tiga fasa untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masyarakat tempatan.
SEORANG petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang. Program menyeluruh Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuat dalam tiga fasa untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masyarakat tempatan.

Kuala Lumpur: Penularan koronavirus maut Covid-19 semakin terkawal sepanjang tempoh rangkuman mingguan (26 Februari-4 Mac) dengan angka kes harian baharu stabil di bawah 2,500 sementara kes pesakit sembuh mencapai paras 92 peratus.

Sehingga jam 12 tengah hari Khamis 4 Mac 2021, negara mencatat jumlah kes harian baharu Covid-19 sebanyak 2,063 kes dan kes sembuh sebanyak 2,922 kes.

Sebelum kelmarin, negara merekod kes harian baharu bawah dua ribu selama tiga hari berturut-turut iaitu 1,828 kes (1 Mac), 1,555 kes (2 Mac) dan 1,745 kes (3 Mac).

Kali terakhir Malaysia merekod kes harian baharu di bawah dua ribu ialah pada 3 Januari 2021 iaitu sebanyak 1,704 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengenai situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 di Malaysia pada Khamis 4 Mac berkata, daripada 2,063 kes baharu, sebanyak 2,054 kes adalah penularan tempatan (1,419 warganegara dan 635 bukan warganegara).

Kes import pula sembilan (9) kes, melibatkan dua (2) warganegara dan tujuh (bukan warganegara).

Jumlah kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melepasi angka 300 ribu pada Ahad 28 Feb (300,752 kes). Sehingga Khamis 4 Mac, jumlah kes kumulatif adalah sebanyak 307,943 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan pula menurun di bawah 25 ribu iaitu 23,161 kes.

Untuk rekod, kes aktif dengan kebolehjangkitan negara pernah melonjak paling tinggi kepada 52,186 pada 10 Februari 2021 dengan catatan kes baharu 3,288 dan 14 kematian.

Dengan rekod kes kumulatif 307,943 kes, Malaysia kekal di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Slovakia dengan 317,159 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, masih di tangga 85 dengan 89,952 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 99 dengan 59,998 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan Bernama 27 Februari hingga 4 Mac 2021 adalah 2,364 kes (27 Februari), 2,437 kes (28 Februari), 1,828 kes (1 Mac), 1,555 kes (2 Mac), 1,745 kes (3 Mac) dan 2,063 kes (4 Mac).

Jumlah kes sembuh setakat 4 Mac 2021 adalah sebanyak 2,922 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini sebanyak 283,629kes (92.1 peratus).

Rekod kes sembuh harian sepanjang rangkuman mingguan 27 Februari hingga 4 Mac 2021 adalah 3,320 kes (27 Februari), 3,251 kes (28 Februari), 2,486 kes (1 Mac), 2,528 kes (2 Mac), 2,278 kes (3 Mac) dan 2,922 kes (4 Mac).

Sehingga 4 Mac 2021, sembilan daerah di Semenanjung kembali kepada zon hijau iatu Kubang Pasu, Padang Terap dan Langkawi di Kedah; Kampar di Perak; Kemaman di Terengganu; Bera, Lipis, Raub dan Cameron Highlands di Pahang.

Menurut Dr Noor Hisham, setakat 4 Mac 2021, jumlah yang menerima vaksinasi (pemberian Dos I Vaksin) adalah 99,616.

Pecahan mengikut negeri adalah seperti berikut: Perlis 1,896; Kedah 5,171; Pulau Pinang 4,034; Perak 8,844; Selangor 6,483; Kuala Lumpur 10,970; Putrajaya 2,054; Negeri Sembilan 4,332; Melaka 3,740; Kelantan 10,941; Terengganu 4,570; Pahang 8,546; Johor 8,470; Sabah 3,492; Labuan 1,939; Sarawak 14,134.

Malaysia pada 21 Februari lepas menerima bekalan pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos.

Untuk rekod, Program menyeluruh Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini dibuat dalam tiga fasa ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masyarakat tempatan supaya dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan koronavirus maut ini.

Ia dibahagi kepada tiga fasa yang akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 4 Mac mengumumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 4 Mac 2021 untuk seluruh negara adalah 0.87. Negeri mencatat Ro tertinggi adalah Pulau Pinang 1.14 sementara paling rendah, Terengganu dan Melaka, masing-masing 0.56.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pada 2 Mac bahawa Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mac hingga 18 Mac 2021.

Negeri Sarawak juga diletakkan di bawah PKPB mulai 2 Mac hingga 15 Mac 2021.

Negeri-negeri Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP) bermula 5 Mac hingga 18 Mac 2021.

Pergerakan rentas daerah dalam negeri (kecuali Sabah) dibenarkan, mulai 5 Mac, bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

Sehingga Khamis 4 Mac 2021, jumlah kluster Covid-19 dalam negara adalah sebanyak 1,177 kluster dan 687 kluster daripadanya dilaporkan tamat.

Sebanyak 490 kluster masih aktif dan 76 kluster daripadanya menambah kes baharu.

Tiga kluster merekod pertambahan kes baharu yang tinggi iaitu Kluster Lorong Bakau (90 kes), Kluster Jalan Kebun Nenas (90 kes), dan Tapak Bina Queens Waterfront (87 kes).

Sebanyak 14 kluster baharu dilaporkan kelmarin dan 12 daripadanya Kluster Tempat Kerja (KTK) - (5 Selangor, 4 Johor, Pulau Pinang 2 dan Negeri Sembilan 1) dan dua lagi, masing-masing satu Kluster Komuniti (Johor) dan Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi (Johor).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 7:01 AM