KUMPULAN Dolla kini berjaya mempunyai kelompok peminat tersendiri. FOTO Rohanis Shukri
KUMPULAN Dolla kini berjaya mempunyai kelompok peminat tersendiri. FOTO Rohanis Shukri
Najiy Jefri


POPULARITI kumpulan Dolla dilihat semakin memuncak apabila single kedua mereka berjudul Impikan berjaya meraih lebih 3.6 juta tontonan di YouTube.

Siapa sangka, kumpulan yang baharu ditubuhkan ini berjaya menambat hati peminat tanah air dengan pantas, malah turut menerima liputan media antarabangsa berhubung dakwaan kononnya meniru kumpulan popular dari Korea Selatan, Blackpink.

Melihat kepada pencapaian demi pencapaian yang diraih, kumpulan yang dianggotai Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya ini mampu terbang lebih jauh dan dikenali ramai.

Tabby berkata, mereka tidak menyangka mampu mengecap populariti secepat dan sejauh ini walaupun berdepan krisis penularan Covid-19.

"Perjalanan muzik dan kerjaya seni kami masih jauh. Banyak pengalaman yang perlu ditimba dan kami sudah pasti tidak boleh berasa cepat selesa dengan apa diraih kini.

SINGLE Impikan meraih lebih 3.6 juta tontonan di YouTube. FOTO Rohanis Shukri
SINGLE Impikan meraih lebih 3.6 juta tontonan di YouTube. FOTO Rohanis Shukri

"Terima kasih kepada peminat yang menerima Dolla dan kekal memberi sokongan padu kepada kami. Walaupun berdepan penularan Covid-19, tapi kami melihat dari sudut yang positif. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kami ambil masa ini untuk kenal secara lebih mendalam antara satu sama lain.

"Kami juga enggan terburu-buru untuk memastikan diri kami dikenali. Biar lambat asalkan pembabitan Dolla terus kekal aktif dan relevan. Malah sepanjang PKP pun kami sedang membuat persiapan untuk mengeluarkan single ketiga," katanya.

Menurut Tabby, walaupun kehadiran Dolla dilihat bukan pada waktu yang tepat kerana penularan Covid-19, namun mereka tidak pernah menyesal sebaliknya banyak pengalaman yang ditimba.

"Kami belajar banyak perkara seperti berinteraksi dengan peminat melalui media sosial. Jika dilihat kumpulan popular dari Korea Selatan pun menggunakan platform media sosial untuk berinteraksi dengan peminat sehingga mereka dikenali ramai.

"Jadi, kami ambil peluang dan masa ini untuk mempelajari cara penggunaan media sosial dengan baik. Tiada istilah menyesal apabila kami masih belum berpeluang untuk menghiburkan peminat di khalayak ramai," katanya.

Jarang bertemu melainkan atas urusan kerja, Syasya mengakui mereka sentiasa berkomunikasi di kumpulan WhatsApp untuk memastikan hubungan mereka kekal erat.

"Kami jarang berjumpa kalau tidak membabitkan hal kerja. Namun, setiap kali berjumpa kami akan curi masa untuk kenal antara satu sama lain.

"Selain itu, kami selalu berkomunikasi dalam WhatsApp. Kalau sehari tak mesej rasa pelik. Jadi kami selalu berinteraksi dan berbual," katanya.

Siapa sangka, Dolla kini beralih mencuba peluang baharu sebagai pelakon apabila kisah mereka disatukan dalam sebuah telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow.

Menjalani penggambaran minggu lalu, Syasya mengakui, lakonan adalah pengalaman kali pertama mereka dan begitu menyeronokkan.

TELEFILEM Dolla Watch Me Glow bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada Aidilfitri ini. FOTO Rohanis Shukri
TELEFILEM Dolla Watch Me Glow bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada Aidilfitri ini. FOTO Rohanis Shukri

"Kami berempat memang tiada pengalaman berlakon sebelum ini, tapi ketika dimaklumkan kami bakal disatukan dalam sebuah telefilem kami semua amat teruja dan terkejut.

"Ini kerana, kisah hidup kami berempat adalah berbeza-beza sebelum disatukan menjadi sebuah kumpulan. Banyak perkara yang kami berempat lalui sebelum terbentuknya Dolla," katanya.

Bagi Angel, hampir 60 peratus kisah benar mereka diceritakan dalam telefilem terbabit.

"Jika dibandingkan kerjaya lakonan dan nyanyian memang agak berbeza. Baharu saya tahu yang sesi penggambaran mengambil masa yang lama serta tidak mudah untuk dibuat. Kami banyak timba ilmu baru daripada pelakon berpengalaman yang menjadi ibu bapa kami.

"Hampir 60 peratus kisah benar kami diceritakan dalam telefilem ini. Banyak suka duka yang kami tempuh untuk menjadi penyanyi," katanya.

Menurut Angel, antara cabaran utama yang perlu ditempuh adalah penguasaan bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu saya tidak fasih tapi saya cuba menghafal skrip yang diberikan dan faham situasi supaya memudahkan proses penggambaran.

"Berkat tunjuk ajar pengarah dan pelakon berpengalaman kami berjaya menghabiskan penggambaran telefilem ini," katanya.

Syasya berkata, antara cabaran besar yang dilalui adalah babak menangis.

"Saya perlu menangis dalam salah satu babak. Memang agak susah untuk dibuat tapi nasib baik ada sokongan daripada pihak produksi yang sentiasa membantu dan bersabar dengan kami," katanya.

Telefilem Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada Aidilfitri ini di saluran Astro Citra.

Selain Dolla, telefilem arahan Izuan Mokhtar turut dibintangi Azwan Ali, Angeline Tan, Douglas Lim, Fauziah Nawi dan Aniq Suhair.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 7:00 AM