Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Keterbatasan mengadakan sesi fotografi di tempat awam dan kawasan terbuka ketika ini, bukan halangan untuk jurugambar, Mohamad Ariff Rosly menggunakan kreativitinya dalam menghasilkan gambar menarik.

Sebaliknya, Mohamad Ariff, 25, bijak menyesuaikan dirinya dengan keadaan semasa dan terbaru, kisahnya mengambil gambar pengantin perempuan di atas bumbung rumah menarik perhatian warganet hingga tular di laman sosial selepas video ketika sesi fotografi itu dimuat naik di aplikasi TikTok.

Mohamad Ariff berkata, sesi fotografi itu diadakan pada 3 petang pada Jumaat lalu di rumah pengantin perempuan dekat Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Katanya, idea mengadakan sesi fotografi di bumbung itu datang secara spontan sebagai alternatif bagi mendapatkan lebih banyak pilihan gambar menarik.

"Saya ada bertanya dengan pelanggan saya itu (pengantin) mengenai apa konsep dimahukannya ketika berhubung menerusi WhatsApp dan sudah memaklumkan akan menjadikan rumahnya sebagai lokasi awal sesi fotografi.

"Pada hari dijanjikan, sesi fotografi bersama pengantin itu dan pasangannya berjalan seperti biasa di rumahnya, namun berlaku sedikit masalah apabila tidak banyak gambar serta rakaman video dapat diambil.

"Jadi, saya cuba meninjau sekeliling rumah dan dengan tiba-tiba datang idea mengadakan sesi fotografi di atas bumbung.

"Saya kongsi idea itu dengan pelanggan dan kebetulan, dia tidak keberatan lakukannya, maka dapatlah saya mengambil beberapa gambar menarik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamaf Ariff, dia tidak berseorangan pada masa itu kerana turut ditemani rakan yang juga juruvideo Rahmat Hidayat Edy Selamet, 24.

Pengantin perempuan bergambar atas bumbung. FOTO ihsan pembaca
Pengantin perempuan bergambar atas bumbung. FOTO ihsan pembaca

Katanya, sesi fotografi berjalan lancar dan tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 15 minit saja.

"Sebenarnya, saya adalah jurugambar fesyen jadi sudah biasa mengadakan sesi fotografi di tempat tinggi sebelum ini.

"Cuma, satu pengalaman baru buat saya mengambil gambar pengantin di atas bumbung dan Alhamdulillah, semuanya semuanya berjalan lancar kerana pelanggan saya itu berpengalaman sebagai model. Jadi, tiada masalah untuknya memberi 'pose' terbaik," katanya yang kini menyambung peringkat Sarjana Komunikasi Visual di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Mohamad Ariff mengakui terkejut apabila video dimuat naik di TikTok itu mendapat perhatian ramai, tetapi berterima kasih kepada mereka yang memuji hasil kerjanya.

MOHAMAD Ariff bersama pasukannya. FOTO ihsan pembaca
MOHAMAD Ariff bersama pasukannya. FOTO ihsan pembaca

Menurutnya, video itu sebenarnya dirakam dengan tujuan suka-suka saja, malah dia tidak menyuntingnya dengan bersungguh seperti selalu.

"Tak sangka pula, ramai yang menonton hingga saya jadi menyesal tidak menyunting dengan betul supaya kualitinya jadi lebih menarik.

"Apapun, saya hargai semua komen positif diberikan dan berharap orang ramai dapat terus menyokong komuniti jurugambar tempatan yang turut terkesan sejak adanya pandemik Covid-19," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 9:00 PM