GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 2,712 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 2,708 kes membabitkan warga tempatan manakala bakinya warga asing.

Menurutnya, kes sembuh Covid-19 hari ini sebanyak 5,320 kes melebihi angka kes positif.

"Kes kematian pula merekodkan 25 kes manakala 227 kes masih menerima rawatan lanjut di unit rawatan rapi.

"Pesakit meninggal dunia membabitkan usia tiga tahun hingga 82 tahun dengan majoritinya mempunyai sejarah penyakit kronik.

"Selain itu, 103 pesakit masih menerima rawatan dengan menggunakan bantuan mesin pernafasan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal menjadi penyumbang kes positif tertinggi dengan 1,013 kes dengan 795 kes (78.5 adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat.

Katanya, kes positif kedua tertinggi direkodkan di Johor dengan 426 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 212 kes.

"Terdapat 17 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini membabitkan 14 kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, keagamaan dan komuniti.

"Sebanyak 10 kluster tamat hari ini dengan 506 kluster masih aktif," katanya.

Beliau berkata, kluster aktif direkodkan hari ini membabitkan masing-masing lima di Selangor dan Johor, Sabah (dua) selain satu kluster di Perak, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 7:15 PM