GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Wanita berdepan detik cemas selepas dua penyamun bertindak menyorokkan bayi lelakinya berusia tiga bulan dalam tong dalam keadaan mulut disumbat dengan tuala kecil sebelum ditampal pelekat.

Tindakan itu berikutan dua suspek terbabit gagal mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 daripada ibu mangsa, dalam satu kejadian samun di sebuah rumah flat di Jalan Van Praagh, Jelutong, di sini, 15 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, mangsa yang juga suri rumah berusia 30 tahun didatangi dua suspek berkenaan ke rumahnya pada jam 10.30 pagi.

Katanya, mereka turut memperkenalkan diri sebagai pekerja dari syarikat kurier yang membuat penghantaran kotak.

"Selepas mangsa membuka pintu, seorang daripada suspek bertindak mengeluarkan pisau dan meminta supaya wanita terbabit tidak menjerit.

"Rantai emas milik mangsa bernilai RM1,200 di dalam rumah berkenaan diambil suspek sebelum kedua-duanya meminta wang berjumlah RM50,000," katanya, di sini, hari ini.

Soffian berkata, berang dengan mangsa yang gagal menyediakan wang sebanyak itu, dua suspek bertindak menyembunyikan bayi lelaki mangsa ke dalam tong putih di rumah berkenaan.

Manakala seorang lagi anak perempuan mangsa berusia tiga tahun tidak diapa-apakan suspek.

"Selepas gagal mendapatkan wang yang diminta, kedua-dua suspek beredar dan meninggalkan rumah mangsa.

"Ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Batu Kawan sebagai pengurus tapak projek," katanya lagi.

Soffian berkata, polis sedang meneruskan siasatan dan giat mengesan kedua-dua suspek itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat di talian 04-2825922 sambungan 228," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 4:07 PM